Fidelity lancar akaun pelaburan remaja

NEW YORK, 19 MEI – Bertujuan menarik generasi pelabur akan datang, Fidelity Investments telah melancarkan akaun baharu untuk remaja menyimpan, membelanja dan melabur wang mereka.

Akaun berkenaan adalah untuk remaja berusia 13 hingga 17 tahun, dan ia akan membolehkan mereka menyimpan wang tunai, memiliki kad debit dan menjalankan aktiviti niaga saham dan dana.

Remaja boleh menjalankan perniagaan mereka sendiri menerusi pengalaman yang dipermudahkan di aplikasi peranti Fidelity, tanpa bayaran akaun atau baki minimum, walaupun akaun belia mewajibkan ibu bapa atau penjaga mempunyai akaun Fidelity mereka sendiri.

Ia merupakan langkah terbaharu dalam usaha industri untuk menarik lebih ramai pelabur kali pertama dalam pasaran. Akaun remaja Fidelity tidak mengenakan had mengenai jumlah atau betapa kerap seseorang remaja boleh berniaga, walaupun ia tidak akan membenarkan mereka membeli atau menjual mata wang kripto, opsyen saham atau ETF yang menggunakan wang pinjaman untuk membiayai keuntungan dan kerugian.

Fidelity berharap ibu bapa dan penjaga akan menggunakan akaun remaja baharu sebagai satu cara untuk mengadakan perbualan bersama anak mereka mengenai cara-cara melabur dengan selamat untuk jangka panjang.

Akaun remaja itu menawarkan bahan pendidikan untuk remaja mengenai kewangan, dan mereka akan beralih kepada akaun pembrokeran standard selepas remaja berkenaan berusia 18 tahun. – AP

Gambar fail menunjukkan logo FidelityInvestments pada sebuah bangunan di Boston. Fidelity melancarkan akaun baharu untuk remaja menyimpan, membelanja dan melabur wang mereka. – AP