FIFA gesa Trump agar bersikap ‘toleransi’

AMERIKA SYARIKAT, 15 JUN – FIFA merayu untuk ‘toleransi, saling menghormati dan berfikir dengan baik’ setelah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengecam pembatalan dasar yang mengharuskan pemain bola sepak berdiri semasa lagu kebangsaan dimainkan.

“Saya tidak akan menonton lagi!” Trump berkata dalam laman Twitternya Sabtu lalu.
Trump menaikkan semula kata-kata oleh Republikan Florida, Matt Gaetz, di Twitternya yang menulis “Saya lebih suka AS tidak mempunyai pasukan bola sepak, daripada pasukan bola sepak yang tidak menghormati lagu kebangsaan.”

Ketua pasukan Amerika Syarikat, Megan Rapinoe berlutut sebagai tanda sokongannya kepada Colin Kaepernick yang menyebabkan Persekutuan Bola Sepak AS melaksanakan peraturan baharu pada tahun 2017.

Ia dibatalkan minggu lalu setelah pemimpin bola sepak AS mengakui perubahan sentimen dalam kalangan orang ramai sejak kematian George Floyd mencetuskan tunjuk perasaan antiperkauman di seluruh dunia.

“FIFA sangat menganjurkan toleransi, saling menghormati dan berfikiran logik ketika perkara-perkara penting itu diperdebatkan,” kata badan pemerintah bola sepak dunia (FIFA) dalam satu kenyataan kepada The Associated Press ketika ditanya mengenai komen Trump itu.

“FIFA memiliki pendekatan toleransi sifar terhadap insiden semua bentuk diskriminasi dalam bola sepak, seperti yang digariskan dalam undang-undang FIFA.

“Kita semua mesti mengatakan tidak kepada perkauman dan tidak terhadap keganasan.” – AP

Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata dia sangat menganjurkan sikap toleransi, saling menghormati dan berfikiran logik terhadap semua perkara penting. – AP