Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    FIFA hukum tujuh pasukan Afrika

    JOHANNESBURG, 4 Okt – FIFA mengenakan hukuman ke atas beberapa negara Afrika susulan kesalahan sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia, bulan lalu, kata kenyataan dikeluarkan badan induk itu, awal pagi tadi.

    Gabon dikenakan hukuman mandatori yang menyaksikan lawan mereka Ivory Coast diberikan kemenangan percuma 3-0 di Libreville kerana menurunkan pemain yang masih digantung, Merlin Tandjigora. Bagaimanapun, Gabon yang tewas 3-0 pada aksi sebenar hanya rugi AS$6,200 akibat denda.

    Menurunkan pemain larangan adalah masalah utama di Afrika ketika kelayakan Piala Dunia 2014 tetapi kes Tandjigora adalah yang pertama sejak itu.

    Sementara itu, Nigeria didenda AS$30,000 selepas penonton masuk ke padang di Uyo ketika mereka menewaskan Cameroon 4-0.

    Congo DR pula perlu membayar FIFA AS$20,000 selepas penonton membaling botol dan melepaskan bahan bakar ketika perlawanan dengan Tunisia yang berkesudahan 2-2 di Kinshasa.

    Mali pula didenda AS$15,000 kerana penonton membaling botol dan kerusi ke padang ketika seri tanpa jaringan dengan Maghribi di Bamako.

    Aksi kelayakan sebelum itu membabitkan kedua-dua pasukan di Rabat menyaksikan Maghribi didenda AS$3,000 kerana penonton membuat bising ketika lagu negara Mali dimainkan.

    Zambia turut didenda selepas penyokong membaling objek ke dalam padang ketika menang 3-1 ke atas Algeria di Lusaka, manakala Senegal dan Burkina Faso diberi amaran keras kerana melewatkan permainan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda