Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    FIFA lucut hak Piala Dunia B-20 Indonesia

    JAKARTA, 30 MAC – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menarik balik hak menganjur Piala Dunia Bawah 20 tahun ini daripada Indonesia selepas beberapa ahli politik negara itu membantah penyertaan pasukan Israel.

    Keputusan itu dibuat selepas pertemuan antara presiden FIFA, Gianni Infantino dan presiden Persekutuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir di Doha.

    “Berdasarkan keadaan semasa, FIFA memutuskan untuk mengeluarkan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 FIFA 2023,” kata FIFA, sambil menambah tindakan tatatertib terhadap PSSI mungkin diputuskan tidak lama lagi.

    Persekutuan itu dalam kenyataan di laman sesawangnya menyebut bahawa tuan rumah baharu akan dipilih dalam tempoh beberapa hari akan datang.

    Tarikh kejohanan sedia ada juga tidak berubah.

    Di sebalik keputusan itu, FIFA akan membantu PSSI dan kerajaan Indonesia dalam proses transformasi bola sepak mereka berikutan tragedi rempuhan Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur tahun lepas yang mengorbankan 135 orang.

    “Ahli pasukan FIFA akan terus berada di Indonesia dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan akan memberikan bantuan yang diperlukan kepada PSSI,” katanya.

    Pada Selasa lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo dilaporkan berkata negara itu telah menghantar Erick untuk bertemu pegawai FIFA untuk mencari penyelesaian terhadap isu itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...