Fiji asing kakitangan hospital selepas pesakit koronavirus maut

WELLINGTON, NEW ZEALAND, 6 MEI – Tentera dan polis di negara Pasifik, Fiji telah mengepung dan menyekat sebuah hospital besar di tengah-tengah kebimbangan penularan virus yang meningkat.

Pihak berkuasa kesihatan berkata mereka telah mengkuarantin 400 pesakit, doktor, jururawat dan kakitangan dalam kawasan itu sehingga mereka boleh memastikan siapa yang telah berkontak rapat dengan pesakit koronavirus yang sudah meninggal dunia itu.

Pesakit berusia 53 tahun di Hospital Lautoka merupakan orang ketiga di Fiji yang meninggal dunia akibat virus itu namun pemimpin negara sangat bimbang penularan baharu itu telah merebak, terutamanya selepas dua doktor di hospital itu diuji positif virus terbabit.

Pihak berkuasa berkata di seluruh negara, terdapat 28 kes jangkitan komuniti ketika ini.

Mereka telah menyekat pergerakan di enam kawasan termasuk bandar, Suva.

Sistem kesihatan Fiji kekurangan peralatan untuk menangani penularan wabak itu.

Setiausaha tetap bagi kesihatan, Dr James Fong berkata hospital itu ditutup dan semua perkhidmatan kesihatan telah ditukar ke kemudahan lain.

Dia berkata mereka yang telah diasingkan di hospital itu akan diberikan makanan, katil dan apa sahaja bekalan lain yang mereka perlukan. – AP