TOGORU, FIJI – Laut telah menelan tanah perkuburan kampung di Togoru, Fiji, dan penduduk yang telah lama menetap di sana, Lavenia McGoon bimbang suatu hari rumahnya juga turut musnah.
Dia menimbunkan tayar kereta getah terpakai di bawah pokok kelapa yang sejajar dengan pantai, dengan harapan tembok laut buatannya ini sekurang-kurangnya akan memberinya masa untuk mempertahankan rumahnya.
Lelaki berusia 70 tahun itu percaya perubahan iklim, dan lautan yang terhakis, pasti akan memaksa keluarganya pergi dari tempat itu.
“Tiada siapa boleh menghalangnya,” katanya kepada AFP, ketika air pasang mengalir masuk yang membuatkan ketam berlindung di atas batu nisan.
“Tiada siapa boleh menghalang air.”
Togoru ialah sebuah perkampungan kecil di pantai selatan pulau terbesar Fiji, Viti Levu.
Ia adalah salah sebuah daripada berpuluh-puluh kampung pantai di kepulauan Pasifik yang kini berhadapan dengan realiti perubahan iklim.
McGoon, atau dipanggil dengan nama ‘Nana Besar’ oleh penduduk tempatan, telah menghabiskan hampir 60 tahun di sini, tinggal di pinggir pantai dalam rumah kayu yang sederhana tanpa bekalan elektrik atau air.
“Kami pernah mempunyai ladang betul-betul di hadapan,” kata McGoon sambil menunjuk ke arah laut.
“Selepas 20 hingga 30 tahun kami telah kehilangan hampir 55 meter tanah.”
Kira-kira 200 orang pernah dikebumikan di tanah perkuburan Togoru, tetapi McGoon berkata kebanyakan sisa mayat itu telah dipindahkan ke pedalaman.
Buat pada masa ini dia enggan berpindah kampung dan bertahan dengan keadaan itu.
“Perpindahan bagi saya pada usia ini, ia agak terlalu… menyakitkan,” katanya.
Perbezaan besar
Fiji telah bersiap sedia dengan teliti untuk menempatkan semula kampung-kampung tersebut kerana perubahan iklim apabila tiba masanya.
Skala cabarannya sangat besar yang mana kerajaan menganggarkan lebih 600 buah komuniti boleh dipaksa berpindah, termasuk 42 buah kampung di bawah ancaman segera.
Lebih 70 peratus daripada 900,000 orang penduduk negara itu tinggal dalam lingkungan lima kilometer dari pantai.
Menurut Universiti Monash Australia, paras laut telah meningkat di barat Lautan Pasifik dua hingga tiga kali lebih cepat daripada purata global.
Seluruh negara rendah seperti Kiribati dan Tuvalu bakal tidak dapat didiami dalam tempoh 30 tahun akan datang.
Fiji bernasib baik kerana kawasan tanah tingginya boleh dijadikan penempatan semula sebagai pilihan, yang boleh dilaksanakan.
Penempatan Vunidogoloa, di pulau utara Vanua Levu, berpindah ke kawasan yang lebih tinggi pada 2014, menjadikannya salah sebuah kampung pertama di dunia yang dipindahkan kerana peningkatan paras air laut.
Kampung-kampung lain, seperti Veivatuloa, tidak mempunyai pilihan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan pantai tersebut, sebelum meninggalkan rumah mereka sebagai jalan terakhir. Veivatuloa terletak kira-kira 40 kilometer ke barat ibu kota Suva dan mempunyai penduduk sekitar 200 orang.
Rumah-rumah di kampung itu terletak bersusun menghadap air, manakala papan kayu yang reput dijadikan jambatan kolam air laut yang terkumpul di atas tanah ketika air surut.
Garam laut telah menghakis lubang-lubang kecil di dinding beberapa buah rumah.
Veivatuloa telah melobi kerajaan Fiji untuk mengukuhkan tembok laut yang telah lama dibina, yang kini kerap dibadai ombak.
Jurucakap wilayah Sairusi Qaranivalu berkata penempatan semula adalah idea yang sukar untuk sebuah kampung seperti Veivatuloa, di mana adat dikaitkan dengan tanah itu.
“Apabila kami membawa mereka keluar dari kampung, ia seolah-olah kami memutuskan hubungan mereka daripada tugas tradisional yang perlu mereka laksanakan kepada ketua mereka,” katanya kepada AFP.
“Ia seperti menghapuskan kehidupan adat dan tradisional serta cara hidup mereka.”
Lautan semakin hampir ke kampung, tetapi Leone Nairuwai berkata dia perlu pergi lebih jauh ke laut untuk menangkap ikan.
“Apabila awda biasa pergi ke laut, awda hanya pergi, saya fikir, hanya 20 ela dan awda boleh mendapatkan ikan,” katanya.
“Terdapat perbezaan yang besar pada masa ini di mana sekarang awda perlu menggunakan perahu untuk pergi sejauh satu batu, barulah akan mendapat ikan.”
Tangkapan berkurangan
Kira-kira separuh daripada penduduk luar bandar Fiji bergantung pada hasil menangkap ikan untuk terus hidup, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Tetapi sektor perikanan negara itu berada di bawah tekanan dalam pelbagai bidang.
Laut yang lebih panas mengganggu ekosistem pantai, manakala stok spesies berharga seperti tuna telah dikaut oleh kapal asing.
Pemandu tempatan dan nelayan, Abaitia Rosifulavula mencari rezeki dengan menjual hasil tangkapannya ke restoran di sekitar Pacific Harbour, kawasan tumpuan pelancong yang dipenuhi dengan pusat peranginan mewah.
Dia menggunakan bahagian bawah botol susu plastik yang dipotong untuk mengaut air keluar dari perahunya yang diperbuat dari gentian kaca sebelum meluru ke arah terumbu yang berhampiran.
Kebanyakan umpannya dimakan oleh ikan jerung, dan jumlah ikan yang berjaya dipancingnya sebelum matahari terbenam adalah terlalu kecil.
“Sebelum ini, jumlah ikan banyak,” katanya kepada AFP.
“Dulu saiz ikan besar, sekarang sudah jadi seperti ini,” tambahnya sambil membuat isyarat mengecil dengan tangannya.
Fiji berada di kedudukan ke-12 dalam indeks berisiko dalam Pemuliharaan Perikanan dan Alam Semula Jadi, yang menjejak risiko berkaitan iklim terhadap perikanan pantai di 143 buah negara.
Empat buah negara Pasifik lain iaitu Micronesia, Kepulauan Solomon, Vanuatu dan Tonga adalah negara yang berada di dalam kedudukan 10 teratas.
Kembali ke penempatan Togoru, “Nana Besar”, McGoon berkata negara-negara kecil seperti Fiji dibiarkan mengalami kesan perubahan iklim manakala yang lain enggan mengurangkan pencemaran mereka.
“Mereka hanya memikirkan wang,” katanya.
“Mereka tidak pernah memikirkan orang lain yang akan menderita.”
Walaupun McGoon mahu tinggal di sebelah laut selama yang dia boleh, dia juga pasrah melihat cucunya pergi.
“Saya suka tempat ini. Ia cantik,” katanya.
“Satu-satunya perkara yang saya katakan kepada cucu-cucu saya… pergi ke sekolah dan capai matlamat awda. Belajar hingga ke luar negara.
“Kerana air akan sentiasa mengalir.” – AFP