Fiji teruja buka sempadan

NADI, FIJI, 1 DIS – Para penari yang berpakaian tradisional mengalu-alukan para pengunjung ke Fiji hari ini, ketika negara Pasifik Selatan itu membuka sempadannya kepada pengembara antarabangsa buat pertama kalinya sejak pandemik bermula.

Pesawat penerbangan Fiji Airways FJ914 dari Sydney mendarat di lapangan terbang Nadi pada jam 11:40 pagi, menamatkan 615 hari isolasi antarabangsa bagi ekonomi yang bergantung pada pelancongan itu.

Ketika pesawat di landasan, dua jentera bomba memancutkan air ke udara sebagai tanda penghormatan.

Sejurus tiba, para penumpang kelihatan tersenyum di sebalik wajah yang memakai pelitup muka, membawa papan luncur dan berjalan menerusi terminal serta disambut dengan ucapan ‘bula’ (helo) dan nyanyian puak asli bagi meraikan kedatangan mereka.

Pasangan warga Australia, Matthew Brickwood dan Danielle Connelly menjadi penumpang pertama daripada 200 lebih orang memberitahu AFP, ‘sejak kami dengar Fiji telah membuka semula sempadannya bagi penerbangan pertama, kami memutuskan untuk ke sana’.

Ketua eksekutif Fiji Airways, Andre Viljoen berkata ia adalah peristiwa ‘penting’ selepas 20 bulan berdepan sekatan di mana pelancongan merupakan 40 peratus hasil ekonominya.

“Pembukaan semula sempadan antarabangsa itu akan menghidupkan semula ekonomi Fiji,” ujarnya kepada wartawan.

Viljoen berkata langkah kesihatan ketat telah dikenakan untuk membendung COVID-19 dan kemunculan varian Omicron baru-baru ini tidak menghalang para penumpang.

“Penerbangan datang dalam kapasiti penuh,” katanya. – AFP

Penari tradisional (kanan) mengalu-alukan pelancong di Nadi pada 1 Disember. – AFP