Fikir positif, ambil risiko

MANCHESTER, United Kingdom, 25 Dis – Manchester United kembali ke Old Trafford buat kali pertama di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer menentang Huddersfield pada Boxing Day dengan harapan tinggi selepas melakar lima gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris buat julung kalinya dalam tempoh lima tahun.

Pengendali sementara dari Norway itu, akan membimbing skuad berkenaan sehingga berakhirnya musim ini, memulakan tugas dengan baik setelah menumpaskan Cardiff City, 5-1.

United masih berdepan cabaran besar untuk memburu jurang lapan mata untuk layak ke Liga Juara-juara musim depan.

“Saya fikir para pemain tidak sabar untuk beraksi di Old Trafford dan ia penting. Kami seharusnya menikmatinya, mereka adalah penyokong terbaik di dunia,” kata Solskjaer apabila disoal sama ada skuad kendaliannya itu tertekan dengan aksi di laman sendiri.

Solskjaer semasa beraksi sebagai pemain United, dia telah meledakkan 126 gol dalam 11 musim termasuklah ketika meraih kemenangan dalam perlawanan Liga Juara-juara pada 1999.

Dia mendapat sokongan hebat daripada penyokong pelawat ketika beraksi di ibu negeri Wales pada hujung minggu lalu tatkala United menjaringkan lima gol buat kali pertama sejak perlawanan terakhir di bawah kendalian Alex Ferguson.

“Saya berharap dalam tempoh lima tahun akan datang saya akan melakukan yang terbaik untuk mereka dan memastikan nama saya disebut-sebut sekalipun ada orang lain menggantikan saya,” tambah Solskjaer, yang secara positif mengangkat nasib malang skuad itu di bawah kendalian Mourinho.

“Fikirkan yang positif dan ambil risiko,” kata Jesse Lingard, yang menjaringkan dua gol di Cardiff. – AFP

Reaksi Solskjaer semasa meraikan kemenangannya menentang Cardiff City yang diadakan di Stadium Cardiff City di Cardiff, Wales pada 22 Disember lalu. – AP