AKSI Tom Cruise dalam Mission: Impossible – Fallout ternyata kekal menjadi pilihan utama penonton di pawagam.
Mission: Impossible Fallout berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$35 juta hasil tayangan dari 4,395 pawagam.
Siri keenam bagi francais filem Mission Impossible ini telah berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$124 juta bagi tempoh tayangan selama dua minggu.
Sementara di pasaran antarabangsa pula filem aksi itu telah berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$205 juta.
Manakala, Christopher Robin terbitan Disney pula akur menduduki tangga kedua dengan kutipan AS$25 juta hasil tayangan dari 3,602 pawagam.





Selain A Wrinkle in Time, Christopher Robin merupakan filem terbitan Disney kedua yang gagal mendominasi carta pada minggu perdana tayangannya.
Filem yang diadaptasi dari karakter filem Winnie the Pooh itu menelan kos pembikinan setinggi AS$75 juta.
Secara purata, penonton yang memilih filem itu adalah terdiri daripada 60 peratus penonton yang datang ke pawagam bersama keluarga dan 56 peratus daripadanya adalah para wanita.
“Kami yakin bahawa ini adalah permulaan yang kukuh terhadap prestasi filem ini. Setentunya tempoh tayangan ini dianggap cukup strategik berikutan daripada kurangnya filem dari genre yang sama iaitu bertemakan kekeluargaan,” jelas Ketua Pengedar Teater Disney, Cathleen Taff.
Watak Christopher Robin dilakonkan oleh Ewan McGregor dan Jim Cummings pula meminjamkan suara latar bagi Winnie the Pooh dan Tigger.
Filem berkonsepkan kekeluargaan itu diarahkan oleh Marc Forster dan skripnya ditulis oleh Alex Ross Perry dan Allison Schroeder.
Walaupun, ia merupakan antara senarai filem terbitan Disney yang mendapat kutipan tercorot namun pihak produksi itu tetap berbangga apabila tiga filem terbitannya pada tahun ini tersenarai sebagai antara empat filem yang berjaya mendapat kutipan tertinggi bagi tahun 2018.
Antara filem terbitan Disney yang berjaya menerima sambutan cukup menggalakkan pada tahun ini adalah Black Panther yang berjaya melepasi kutipan setinggi AS$700 juta bagi pasaran domestik dan AS$1.3 bilion bagi pasaran antarabangsa.
“Secara jujurnya kami sangat berbangga terhadap kutipan yang berjaya dikumpulkan oleh filem yang menampilkan aksi adiwira itu sejak ia ditayangkan pada Februari lalu,” jelas Taff.
The Spy Who Dumped Me terbitan Lionsgate dibintangi oleh Mila Kunis dan Kate McKinnon pula menduduki tangga ketiga dengan jumlah kutipan setinggi AS$12.3 juta hasil tayangan di 3,111 pawagam.
Filem komedi arahan Susanna Fogel itu juga turut dibintangi oleh Justin Theroux, Gillian Anderson, Hasan Minhaj dan Sam Heughan.
Mamma Mia! Here We Go Again terbitan Universal pula menduduki tangga keempat dengan jumlah kutipan setinggi AS$9 juta.
Secara keseluruhan, filem komedi muzikal ini telah berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$91 juta di pasaran domestik dan AS$139 juta bagi pasaran antarabangsa.
The Equalizer 2 terbitan Sony pula menduduki tangga kelima dengan jumlah kutipan setinggi AS$8.8 juta.
Dalam tempoh tayangan selama tiga minggu, filem yang dibintangi oleh Denzel Washington itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$79 juta.
Antara filem terbaharu yang ditayangkan pada minggu ini adalah The Darkest Minds terbitan Fox yang dibintangi oleh Amandla Stenberg, Mandy Moore dan Gwendoline Christie.
Secara keseluruhan, hasil penjualan tiket pada musim panas bagi tahun ini dikatakan lebih baik berbanding pada tahun lalu.
Menurut comScore, jualan tiket telah berjaya mencapai AS$7.5 bilion ataupun 12.4 peratus berbanding 8 peratus pada tahun 2017.