Monday, February 6, 2023
22.7 C
Brunei

-

Filem M3GAN bawa mesej penting

Tahun 2023 membuka tirai dengan lambakan filem seram yang mengisi slot tayangan pawagam.

Salah satu yang mencuri tumpuan tentunya filem M3GAN, naskhah ditulis dan diterbitkan oleh James Wan yang sememangnya cukup sinonim dengan genre filem tersebut.

Bagaimanapun, filem ini diarahkan oleh Gerard Johnstone yang cuba memberikan interpretasinya sendiri dalam menyampaikan cerita.

Filem ini mengisahkan Gemma, pakar robotik yang bertugas di syarikat alat permainan terkemuka dalam diam menggunakan kepakarannya membina robot pintar diberi nama M3GAN yang merupakan singkatan kepada Model 3 Generative Android.

M3GAN dibangunkan dengan saiz sebenar menggunakan teknologi AI dan diprogramkan sebagai peneman kepada kanak-kanak dan pembantu kepada orang dewasa.

M3GAN merupakan peneman yang baik, namun bertukar sebaliknya terhadap individu yang dianggap mengancam Cady. – Agensi

Apabila secara tiba-tiba terpaksa menjadi penjaga kepada anak saudaranya, Cady, yang baru sahaja kematian ibu bapanya, Gemma ternyata belum bersedia mengambil alih tanggungjawab itu. Dia kemudiannya memadankan M3GAN dengan Cady dengan harapan urusan menjaga kanak-kanak itu menjadi lebih mudah.

Bagaimanapun, apa yang diharapkan Gemma menjadi sebaliknya apabila gajet itu dilihat terlalu melindungi Cady, malah menjadi sangat agresif sehingga menyebabkan  pelbagai insiden tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, M3GAN tampil unik menerusi unsur seram di sebalik kecanggihan teknologi yang mampu menghuru-harakan manusia. Malah, pengarahnya juga bijak menggunakan kreativiti menyelitkan elemen fiksi ilmiah dalam filem ini.

Walaupun elemen jumpscare yang ditampilkan tidak banyak, namun ia sudah cukup mengheret debaran penonton dan mengikuti cerita sehingga ke penghujung. Kisah yang awalnya sedih itu berubah menjadi sebuah thriller dan pembunuhan menyeramkan.

Dalam pada itu, M3GAN turut tampil dengan mesej penting yang disampaikan kepada penonton. Elemen komedi gelap dan satira yang diselitkan memberi impak tersendiri.

Ia seperti satu tamparan kepada golongan dewasa masa kini yang cenderung menyelesaikan segala masalah berkaitan anak-anak dengan menggunakan gajet. Tanpa disedari ia sebenarnya memberi kesan yang buruk kepada perkembangan mental dan emosi mereka.

Terdapat beberapa kelemahan dalam filem ini. Temponya agak laju dan dilihat agak tergesa-gesa dalam menghabiskan cerita. Malah ada babak-babak yang kurang diberi penelitian dan terlihat tidak meyakinkan. – Agensi

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Bekas Menteri dijatuhi hukuman penjara 2 tahun

SEOUL, KOREA SELATAN, 3 FEB - Mahkamah Korea Selatan hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada bekas Menteri Kehakiman, Cho Kuk, selepas dia...
- Advertisment -