Filipina arah 13 juta rakyat berkurung

MANILA, 30 JULAI – Kerajaan Filipina hari ini menguatkuasakan semula perintah berkurung membabitkan lebih 13 juta penduduk di ibu negara bagi mengekang penularan COVID-19 terutama varian Delta.

Pakar mengeluarkan amaran mengenai jangkitan secara meluas membabitkan varian Delta yang kemungkinan membebankan lagi keadaan di hospital jika tiada tindakan drastik bagi menyekat pergerakan di bandar raya berpenduduk padat itu.

Jurucakap Presiden Filipina, Harry Roque, berkata kerajaan perlu mengambil keputusan sukar itu bagi menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Beliau berkata, kegiatan sosial termasuk makan di restoran dan perhimpunan ramai disekat serta merta manakala penduduk diarahkan duduk di rumah mulai 6 Ogos ini.

Filipina merekodkan lebih daripada 1.5 juta jangkitan COVID-19, iaitu negara kedua tertinggi di Asia Tenggara yang dilanda varian Delta, dengan hampir 28,000 kematian.

Setakat ini, Filipina mengesahkan lebih daripada 200 jangkitan berpunca daripada varian Delta, kebanyakannya adalah kes tempatan.

Kebimbangan meningkat kerana risiko penularan jangkitan lebih meluas di seluruh negara, sebagaimana dihadapi beberapa negara jirannya. Dalam pada itu, kumpulan penyelidikan bebas OCTA menggesa kerajaan supaya segera menguatkuasakan perintah berkurung di Manila.

Wakil OCTA, Ranjit Rye, turut memberi amaran kemungkinan kes harian akan berganda iaitu boleh mencecah 3,000 menjelang pertengahan Ogos, jika tindakan sewajarnya tidak diambil.

“Keadaan sistem kesihatan akan bertambah buruk dalam masa cuma beberapa hari, jika jangkitan terus meningkat,” katanya kepada AFP, minggu ini. – AFP

Orang ramai makan di luar sebuah kompleks membeli-belah di Makati, Metro Manila, 30 Julai. Filipina dijangka mengenakan sekatan ketat bermula 6 Ogos ketika penularan varian Delta meningkat. – Xinhua