Wednesday, October 9, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina, AS jalin hubungan erat

    MANILA, 5 Okt – Ketua tentera Filipina mengalu-alukan Amerika Syarikat (AS) sebagai ‘sekutu nombor satu’ negaranya dan mengumumkan kembalinya latihan perang, selepas Presiden Rodrigo Duterte menyeru untuk menjalin hubungan yang lebih erat.

    Duterte pada minggu lalu berjanji akan bersikap ‘lebih mesra’ dengan AS, mengisyaratkan berakhirnya kritikan yang termasuk janji untuk menamatkan semua latihan tentera bersama dan turut menghina Presiden AS sebelumnya, Barack Obama.

    Ketua tentera Jeneral Eduardo Ano, kembali dari Hawaii di mana beliau bertemu dengan ketua Pusat Ketumbukan AS Pasifik Laksamana Harry Harris pada minggu lalu, berkata hari ini negara sekutu telah bersetuju untuk menambah latihan tentera bersama untuk 2018 selepas mereka dikurangkan pada tahun ini.

    “Presiden berkata: ‘Saya mahu bersikap lebih ramah dengan AS’. Supaya kami mempunyai hubungan yang lebih erat dan lebih banyak latihan,” beritahu Ano kepada wartawan di Manila.

    “Beliau (Duterte) berkata penglibatan dengan AS akan diteruskan. Mereka masih sekutu nombor satu kami.”

    Kakitangan unit meriam tentera Filipina menembak 105 meriam katak semasa upacara pertukaran jeneral pemerintah tentera di Fort Bonifacio di Manila pada 5 Oktober. – AFP

    Ano berkata latihan bersama pada tahun depan akan menumpu pada tindakan cegah keganasan, respons bencana dan pertahanan wilayah.

    Tatkala beliau berusaha melonggarkan hubungan negaranya dengan Amerika Syarikat, Duterte juga berusaha menjalin hubungan yang lebih mesra dengan China dan Rusia.

    Ketika satu lawatan ke Beijing setahun lalu, beliau mengumumkan ‘pemisahan’ negaranya daripada Amerika Syarikat.

    Beliau menjelaskan kemudian bahawa beliau berasa marah dengan Obama kerana mengkritik kempennya ke atas dadah, yang telah melihat beribu-ribu orang terbunuh dan mendorong kumpulan hak mengingatkan Duterte bahawa beliau mungkin merancang satu jenayah ke atas kemanusiaan.

    Duterte berkata pada minggu lalu perbalahan “sudah berlalu” apabila beliau mengucapkan terima kasih kepada AS kerana membantu Filipina memerangi militan Islam yang telah menghuni sebahagian daripada bandar selatan Marawi sejak 23 Mei.

    AS telah menyediakan risikan, senjata dan latihan kepada tentera tempatan yang cuba menawan semula Marawi. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda