MANILA, Filipina, 16 Jan – Filipina telah memfailkan satu bantahan diplomatik tidak menonjol ke atas China selepas kumpulan pemikir AS melaporkan bahawa Beijing nampaknya telah memasang senjata anti-pesawat udara dan anti-peluru berpandu di pulau buatan manusia di Laut China Selatan, kata diplomat tertinggi Filipina hari ini.
Setiausaha Luar, Perfecto Yasay berkata, satu nota lisan dikeluarkan selepas laporan keluar pada bulan lalu. Laporan Pusat untuk Kajian Strategik dan Antarabangsa berkata, meriam anti-pesawat udara dan sistem senjata dekat bertujuan mengawal terhadap serangan peluru berpandu telah pun ditempatkan di kesemua tujuh pulau yang baru dibina di China.
Yasay memberitahu CNN Filipina bahawa Manila telah membalas, namun secara tidak ketara.
“Kami telah mengambil tindakan, kami telah mengeluarkan satu nota lisan,” kata beliau, merujuk kepada komunikasi diplomatik yang dikeluarkan dalam orang ketiga dan tidak ditandatangani.
Ia kurang formal berbanding nota diplomatik.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila ia dikeluarkan, tetapi menambah kata bahawa ia adalah satu isu yang beliau tidak mahu bincangkan.
“Saya hanya mahu memberi jaminan kepada rakyat Filipina bahawa apabila kami mengambil tindakan untuk membabitkan China dalam perbalahan ini, kami tidak mahu mengambil tindakan agresif dan provokatif yang tidak akan menyelesaikan masalah,” kata beliau.
“Kami tidak boleh membabitkan China dalam perang.” – AP