MANILA, 10 OGOS – Filipina telah membatalkan pesanan bagi 16 buah helikopter tentera buatan Rusia, pegawai mengesahkan hari ini, berikutan laporan mengatakan bahawa bekas presiden Rodrigo Duterte memutuskan untuk membatalkan perjanjian susulan sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas Moscow.
Manila, yang merupakan sekutu Washington sejak sekian lama, pada November bersetuju untuk membayar AS$228 juta bagi membeli helikopter Mi-17, ketika negara itu cuba meningkatkan kelengkapan tenteranya.
AS dan sekutunya telah mengenakan pelbagai sekatan ke atas Moscow ekoran pencerobohannya ke atas Ukraine pada Februari.
Mereka merancang untuk memutuskan Rusia daripada sistem kewangan global dan menghentikan dana yang disalurkan ke Moscow bagi tujuan perang.
Jabatan pertahanan Filipina ‘akan menamatkan’ kontrak, menurut jurucakap Arsenio Andolong, hari ini.
Tanpa menyebutkan mengenai sekatan AS ke atas Rusia, Andolong memberitahu AFP ‘perubahan dalam keperluan penting bagi perkembangan politik global telah menyebabkan pembatalan projek oleh pentadbiran terdahulu.”
Delfin Lorenzana, yang berkhidmat sebagai setiausaha pertahanan di bawah Duterte, berkata pada Mac, Filipina telah membayar wang pendahuluan untuk penghantaran helikopter sebelum perang meletus di Ukraine dan perjanjian ‘sedang diuruskan’.
Tetapi minggu lalu, Lorenzana, yang mengetuai beberapa agensi kerajaan, berkata kepada media tempatan bahawa Duterte sendiri memutuskan untuk membatalkan perjanjian disebabkan oleh ancaman sekatan. – AFP