Filipina buka semula 100 sekolah secara bersemuka

BOGO, 15 NOV – Beribu-ribu kanak-kanak di Filipina dibenarkan kembali ke sekolah hari ini buat pertama kalinya sejak pandemik koronavirus, ketika langkah rintis pembukaan semula sekolah dilaksanakan.

Meskipun hampir setiap negara di seluruh dunia telah dibuka separa atau membuka semula sepenuhnya sekolah bagi pembelajaran bersemuka, Filipina kekal menutupnya sejak Mac 2020.

Guru tadika, Zyrex Damayo mengatakan dia ‘sedikit gementar’ ketika dia menyapa lapan pelajarnya di Sekolah Rendah Siocon di bandar Bogo di tengah pulau Cebu.

“Saya jangkakan sebahagian mereka menangis …tetapi ia berjalan lancar dan kami tidak menghadapi sebarang masalah,” Damayo memberitahu AFP. “Mereka agak senyap – mereka masih lagi malu,” tambahnya.

Seratus sekolah awam daripada lebih 61,000 buah sekolah telah dipilih bagi percubaan selama dua bulan yang dijangka dilanjutkan lagi pada minggu-minggu akan datang, menurut pegawai pendidikan. – AFP

Pelajar semasa memulakan pembelajaran bersemuka di Sekolah Rendah Siocon. -AFP