Filipina buka semula pawagam, gim

MANILA, 14 OKT – Filipina akan membenarkan pawagam dan gim dibuka semula di bandar Manila, kata pegawai hari ini, selepas angka harian jangkitan koronavirus menurun manakala vaksinasi meningkat.

Sekatan telah dilonggarkan dalam beberapa minggu kebelakangan ketika kerajaan mengalihkan tumpuannya untuk membenarkan orang ramai bekerja kembali selain meredakan kesengsaraan ekonomi yang disebabkan oleh sekatan pergerakan.

“Kita harus memberi perhatian kepada pewujudan pekerjaan pada waktu ini,” kata jurucakap presiden Harry Roque memberitahu sidang media.

Pawagam dan gim yang telah ditutup semasa pandemik kini dibenarkan untuk dibuka semula operasinya secara terhad pada Sabtu hanya untuk orang yang sudah divaksinasi. Kapasiti maksimum yang dibenarkan bagi restoran-restoran, gereja dan salon kecantikan telah ditingkatkan kepada 30 peratus, ketika metropolis itu dikurangkan ke tahap amaran ketiga tertinggi.

Hampir 80 peratus penduduk dewasa di bandar itu telah divaksin sepenuhnya berbanding hanya lebih 30 peratus bagi keseluruhan negara itu, menurut data rasmi. Kes virus seluruh negara mencecah rekod tinggi sekitar 26,303 pada 11 September, dicetuskan oleh varian Delta mudah berjangkit namun empat hari lalu telah menurun di bawah 9,000.

Data menunjukkan, kadar penghunian katil hospital dalam wad COVID-19 dan unit rawatan intensif telah menurun di bawah 60 peratus. Namun perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Filipina menyeru mesej ‘lebih jelas’ tentang penyekatan supaya tidak ‘merisikokan nyawa orang lain’.

“Ia bukan tentang melonggarkan atau mengurangkan sekatan – ia tentang penentuukur,” kata Rabindra Abeyasinghe, pegawai WHO di negara itu, memberitahu sidang berita sama.

Penjarakan sosial dan memakai pelitup muka, walaupun di antara orang yang sudah lengkap divaksin, adalah ‘sangat penting untuk mengekalkan dan memperkukuhkan pengurangan jangkitan’. – AFP

Para pekerja meletakkan tanda jarak pada kerusi dalam pawagam di Manila pada 14 Oktober. – AFP