Filipina buka semula sekolah secara bersemuka

MANILA, 20 SEPT – Filipina akan membuka kembali kira-kira 120 sekolah bagi kelas secara bersemuka terhad buat pertama kalinya sejak penularan pandemik COVID-19 dalam projek rintis yang sudah diluluskan oleh Presiden Rodrigo Duterte, kata para pegawai hari ini.

Sementara hampir setiap negara di dunia sudah pun sepenuhnya atau sebahagiannya membuka semula sekolah untuk pengajaran dan pembelajaran bersemuka, Filipina tetap menutupnya sejak Mac 2020.

“Projek rintis kelas bersemuka ini perlu dilaksanakan kerana ia bukan hanya disebabkan isu pendidikan, malah membabitkan kesihatan mental kanak-kanak.

“Ini juga membabitkan isu ekonomi kerana kita berkemungkinan berdepan masalah generasi tercicir jika operasi sekolah secara bersemuka ini tidak dilaksanakan, kata jurucakap Presiden, Harry Roque.

Berdasarkan garis panduan yang diluluskan Duterte, kira-kira 100 buah sekolah awam di kawasan kurang berisiko dibenarkan mengambil bahagian dalam projek rintis selama dua bulan itu.

Gambar fail yang diambil pada 3 Mac 2021 menunjukkan guru-guru memakai pelitup muka menjalankan telesidang bersama pelajar untuk membantu mereka dalam pembelajaran sekolah online. – AFP

Sebanyak 20 sekolah swasta turut dibenarkan mengambil bahagian dalam projek berkenaan.

Menerusi projek itu, kanak-kanak kindergarten sehingga Darjah Tiga dan pelajar sekolah menengah dibenarkan hadir ke kelas, namun jumlah pelajar serta tempoh masa akan dihadkan.

Sekolah yang ingin mengambil bahagian perlu menjalani proses penilaian dan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

Malah, kebenaran bertulis daripada ibu bapa perlu dikemukakan.

“Jika projek rintis ini selamat dan berkesan, kita akan meningkatkan jumlahnya,” menurut Setiausaha Pendidikan, Leonor Briones.

Duterte menolak cadangan sebelumnya bagi projek rintis pembukaan semula sekolah, bimbang kanak-kanak akan dijangkiti COVID-19 dan ahli keluarga warga emas. – AFP