Thursday, April 18, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Filipina buka semula sekolah selepas lebih dua tahun

    MANILA, 2 NOV – Jutaan pelajar di seluruh Filipina hari ini kembali ke sekolah selepas kerajaan menguatkuasakan arahan mandatori pelaksanaan semula kelas secara bersemuka selepas perintah berkurung akibat pandemik COVID- selama lebih dua tahun.

    Beberapa masalah membelenggu pembukaan semula kelas di sekolah rendah dan menengah di beberapa buah Bandar dan wilayah, terutamanya disebabkan kerosakan teruk dan banjir akibat Ribut Taufan Nalgae, yang membadai negara itu Ahad lalu.

    Kekurangan tenaga pengajar dan bilik darjah turut menjadi masalah yang dihadapi.

    Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr telah mengambil langkah untuk membuka semula ekonomi sepenuhnya, yang merosot pada 2020 sehingga terjerumus ke dalam kemelesetan terburuk sejak Perang Dunia Kedua selepas presiden terdahulu menutup sekolah, tempat kerja dan pengangkutan awam untuk membendung penularan COVID dalam apa yang disifatkan sebagai perintah berkurung paling lama di dunia.

    Marcos Jr telah membatalkan syarat mandatori ke atas penduduknya untuk memakai pelitup muka di tempat awam dan dalam bangunan.

    Hampir 29 juta orang mendaftar memasuki persekolahan pada tahun ini, termasuk di sekolah swasta, yang diberi pilihan sama ada untuk menyambung persekolahan secara bersemuka atau menggabungkan kaedah pembelajaran secara bersemuka atau dalam talian setiap minggu.

    Banyak sekolah yang menyambung pembelajaran secara bersemuka pada Ogos iaitu semasa tempoh peralihan kepada pembelajaran seperti biasa. Penutupan sekolah yang berpanjangan telah mencetuskan kebimbangan mengenai kadar literasi di kalangan kanak-kanak Filipina – yang sudah berada di tahap yang membimbangkan sebelum pandemik – mungkin menjadi semakin teruk.

    Kajian yang dibuat oleh Bank Dunia tahun lalu menunjukkan kira-kira sembilan daripada 10 kanak-kanak di Filipina menderita daripada ‘kemiskinan pembelajaran’ atau tidak mampu membaca atau memahami ayat asas pada usia 10 tahun. – AP

    Para guru mengalu-alukan murid-murid kembali ke sekolah di bandar Quezon, Filipina. Jutaan pelajar di seluruh Filipina kembali ke sekolah selepas kerajaan menguatkuasakan arahan mandatori pelaksanaan semula kelas secara bersemuka. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...