Filipina catat 28,471 kes baharu COVID-19

MANILA, 18 JAN – Filipina telah melaporkan sebanyak 28,471 jangkitan baharu COVID-19 hari ini, meningkatkan jumlah kes yang disahkan di negara Asia Tenggara itu kepada 3,270,758.

Jabatan Kesihatan (DOH) menyatakan bahawa jumlah kes aktif menurun kepada 284,458 daripada jumlah tertinggi 290,938 yang dilaporkan kelmarin. Kadar positif di negara itu terus menurun kepada 43.4 peratus daripada 46 peratus sehari sebelumnya.

DOH menyatakan, 34 orang lagi meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19, membawa jumlah korban koronavirus kepada 52,962. Lima makmal gagal menghantar data pada hari ini.

Setiausaha Kesihatan Francisco Duque berkata, situasi COVID-19 di negara itu kekal pada risiko kritikal meskipun kadar jangkitan semakin perlahan.

Bagaimanapun, Setiausaha Rendah Kesihatan Maria Rosario Vergeire berkata jumlah kes COVID-19 di Metro Manila dan wilayah-wilayah lain terus meningkat.

“Terdapat trend meningkat dalam kes-kes COVID-19 di wilayah-wilayah lain. Peningkatan kes menjejaskan semua kumpulan pulau,” beliau berkata dalam satu taklimat ringkas secara dalam talian hari ini.

Vergeire juga menyatakan ‘peningkatan tinggi’ dalam kemasukan ke hospital di Metro Manila dalam seminggu kebelakangan ini.

“Dengan penggunaan katil kini pada 60 peratus dan penggunaan unit penjagaan rapi pada 58 peratus, adalah penting untuk mengurangkan risiko Omicron untuk melindungi orang yang paling terdedah dan seluruh sistem,” tambah beliau. – Xinhua

Seorang petugas kesihatan mengambil sampel swab bagi ujian COVID-19 daripada seorang penumpang di stesen kereta api di Bandar Quezon, subbandar Manila, kelmarin. – AFP