MANILA, 4 OKT – Jumlah kes COVID-19 di Filipina meningkat kepada 322,497 selepas Jabatan Kesihatan (DOH) melaporkan 3,190 kes baharu hari ini, tertinggi dalam hampir dua minggu.
Daripada kes-kes baharu dilaporkan, DOH mengatakan 2,709 atau 85 peratus berlaku daripada 21 September sehingga 4 Oktober.
Jumlah yang sembuh juga meningkat kepada 273,079 selepas 18,065 lagi pesakit pulih, manakala 100 lagi pesakit mati akibat penyakit berjangkit itu, membawa jumlah kematian keseluruhan kepada 5,776 orang.
Setiausaha Kabinet, Karlo Nograles kelmarin mengatakan Pasukan Khas Antara Agensi (IATF) bagi pengurusan penyakit berjangkit kini sedang mempertimbangkan untuk membatalkan sekatan ke atas warga asing yang mempunyai tunangan warga Filipina di negara itu.
Pada masa ini, warga asing yang berkahwin dengan warga Filipina atau mempunyai visa Filipina – selain daripada mereka yang terlibat dalam misi diplomatik, misi kemanusiaan atau mempunyai pengecualian kerja atas kepakaran dalam projek atau perniagaan tertentu – dibenarkan untuk memasuki negara itu selepas mengemukan sijil kahwin.
Nograles, yang juga pengerusi bersama IATF, mengatakan kerajaan, bagaimanapun mungkin membenarkan kemasukan warga asing, tertakluk kepada protokol tertentu, berdasarkan kes dan atas sebab-sebab kemanusiaan. – Xinhua






























