Filipina fokus hapuskan kluster jangkitan COVID-19

MANILA, 7 OGOS – Jabatan Kesihatan Filipina (DOH) hari ini mengatakan ia akan memfokuskan penghapusan kluster jangkitan selepas jumlah kes disahkan di negara itu meningkat 122,751 dengan 3,379 kes baharu.

DOH mengatakan jumlah pulih meningkat kepada 66,852 selepas ia melaporkan 96 kes sembuh baharu.

Angka kematian juga meningkat kepada 2,168 orang selepas lebih daripada 24 pesakit meninggal dunia. Metro Manila mendahului lima lagi kawasan atau wilayah dengan jumlah jangkitan tertinggi dilaporkan hari ini sebanyak 1,846 kes, diikuti Rizal sebanyak 314 kes, Laguna 276, Cavite 145 dan Quezon 66.

“Terdapat jangkitan komuniti berlaku. Ini bermakna ia semakin sukar untuk mengenalpasti siapa menjangkiti kes baharu kita atau dari mana mereka mendapat jangkitan,” kata DOH.

Menurutnya lagi, data kluster semasa menunjukkan jangkitan kebanyakan berpunca daripada dalam komuniti, seperti keluarga dan daripada interaksi dan kontak dengan penduduk lain.

Setiausaha Rendah Kesihatan Maria Rosario Vergeire mengatakan Filipina kini akan menumpukan bagaimana menghapuskan kluster jangkitan.

Dalam satu sidang media maya, Vergeire mengatakan pasukan kerajaan akan mengunjungi 10 kampung di 10 bandar Manila yang mempunyai kes kluster COVID-19 dalam masa dua minggu akan datang bagi mencari kes aktif dalam usaha menghapuskan kluster jangkitan koronavirus.

Menurutnya lagi, penemuan kes aktif bermakna ujian saringan lebih bersistematik dan penilaian klinikal pesakit dalam komuniti. “Kami tidak menunggu pesakit datang ke sistem, kami mencari mereka,” tambahnya. – Xinhua

Seorang peniaga menyusun telur ayam di gerainya di pasar, Manila. Dengan peningkatan dalam jangkitan di Filipina, DOH mengatakan ia akan menumpukan penghapusan kluster jangkitan. – Xinhua