Filipina kecam tindakan pengecut bot nelayan

MANILA, 12 JUN – Filipina hari ini mengecam ‘tindakan pengecut’ sebuah kapal nelayan China yang disyaki meninggalkan kru nelayan Filipina selepas insiden pelanggaran di Laut China Selatan.

Bot itu pada Ahad melanggar bot Filipina yang berlabuh berhampiran Tebing Reed – yang dituntut oleh Manila dan Beijing – mengakibatkan ia karam manakala 22 kru lelaki hanya dibiarkan, kata setiausaha pertahanan, Delfin Lorenzana. Walaupun Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah mengetepikan pertikaian dengan Beijing berhubung laluan air yang kaya sumber itu, Manila kadangkala membantah atas tindakan China.

“Kami amat mengecam tindakan pengecut kapal yang disyaki milik nelayan China dan krunya kerana membiarkan kru Filipina,” kata Lorenzana dalam satu kenyataan.

“Ia bukanlah tindakan yang dijangkakan daripada seorang rakan yang baik dan bertanggungjawab.”

Lorenzana menggesa bagi siasatan ke atas pelanggaran itu dan ‘langkah diplomatik’ untuk mencegah insiden itu berulang. Bagaimanapun, jurucakap jabatan pertahanan Filipina, Arsenio Andolong memberitahu AFP yang agensi belum mengesahkan sama ada kapal itu milik China, menambah ia hanya dikenal pasti oleh nelayan Filipina.

Ketua pertahanan juga berterima kasih kepada kru nelayan kapal Vietnam yang berada di sekitar kawasan tersebut yang katanya telah menyelamatkan kru Filipina. – AFP

Para aktivis mengadakan bantahan di hadapan konsulat China di Manila pada 12 Jun berhubung kehadiran Beijing di Laut China Selatan. – AFP