Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina kini hadapi kesan Taufan Yinxing

    MANILA, 8 NOV – Pihak berkuasa membersihkan pokok tumbang dan serpihan di utara Filipina hari ini selepas Taufan Yinxing bergerak keluar ke laut, selepas melanda pantai sepanjang malam, merosakkan bumbung rumah dan memaksa ribuan orang mencari perlindungan.

    Walaupun hampir 30,000 orang berlindung di fasiliti kerajaan sebelum Yinxing melanda, tiada korban jiwa dilaporkan dari taufan itu, yang muncul hanya dua minggu selepas ribut besar mengorbankan lebih 150 orang.

    Angin Yinxing yang berkelajuan 175 kilometer sejam telah menumbangkan tiang elektrik, mencabut pokok dari tanah, dan memecahkan tingkap ketika ia melanda pantai utara Filipina kelmarin, menurut agensi cuaca negara, penduduk dan pasukan penyelamat.

    Pegawai melaporkan 242.6 milimeter hujan turun dalam tempoh 24 jam.

    “Banyak pokok tumbang. Terdapat juga hakisan tanah di beberapa kawasan. Kami bernasib baik kerana ia tidak menjadi tanah runtuh besar,” kata ketua bencana wilayah Cagayan, Rueli Rapsing, yang agensinya setakat ini melaporkan tidak ada sebarang korban jiwa.

    Di kawasan perbandaran Pamplona di wilayah itu, angin kencang menerbangkan bumbung rumah dan memaksa penduduk mencari perlindungan.

    “Angin kuat yang kami alami malam tadi adalah yang paling kuat pernah saya rasakan di bandar ini,” kata Patrick Maquiraya, 35 tahun, kepada AFP melalui telefon. “Bumbung rumah yang sedang dibina di hadapan rumah kami tiba-tiba terbang.”

    Maquiraya berkata bahawa rakan-rakannya yang berlindung di gimnasium terpaksa berpindah ke gereja berdekatan selepas angin kencang memecahkan tingkap kaca bangunan tersebut.

    Video langsung yang dilihat AFP kelmarin menunjukkan angin kuat menerbangkan barang-barang dari rak kedai di bandar Santa Ana, tempat taufan tersebut mula melanda.

    Sehingga jam 8 pagi hari ini, pusat Taufan Yinxing dianggarkan berada di barat laut bandar Laoag dan bergerak keluar ke Laut China Selatan, menurut agensi cuaca negara. – AFP

    Seorang penduduk memeriksa rumah yang musnah di bandar Santa Ana, wilayah Cagayan, utara Manila hari ini, selepas Taufan Yinxing melanda wilayah tersebut. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda