Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Filipina kurangkan cukai korporat tarik pelaburan asing

    MANILA, 11 NOV – Presiden Filipina Ferdinand Marcos menandatangani undang-undang baharu hari ini, mengurangkan cukai korporat serta menawarkan lebih banyak insentif fiskal, dengan tujuan untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara itu.

    Langkah itu mengurangkan cukai pendapatan korporat daripada 25 peratus kepada 20 peratus dan membolehkan syarikat mengamalkan ‘bekerja dari rumah’ bagi sehingga separuh daripada tenaga kerjanya, antara inisiatif lain yang diperkenalkan.

    Menurut data Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), pelaburan langsung asing (FDI) ke Filipina mencapai AS$6.2 bilion tahun lalu.

    Namun, angka berkenaan hanya sebahagian kecil berbanding AS$159.67 bilion yang diterima oleh Singapura, AS$21.6 bilion di Indonesia dan AS$18.5 bilion di Vietnam.

    Syarikat-syarikat sering menyebut kos tenaga yang tinggi, sekatan terhadap pemilikan asing dan infrastruktur yang lemah sebagai halangan utama untuk pelaburan di Filipina.

    Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr semasa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan ke-25 semasa Sidang Kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-44 dan ke-45 di Vientiane pada 10 Oktober. – AFP

    “Kami telah mengambil langkah tegas ke arah mencapai visi ekonomi Filipina yang kompetitif di peringkat global dan dipacu oleh pelaburan,” kata Marcos dalam ucapannya semasa majlis penandatanganan yang turut dihadiri oleh para penggubal undang-undang.

    “Melalui undang-undang ini, kami berusaha menarik pelaburan domestik dan global, dengan fokus pada industri strategik yang akan membentuk masa depan negara.”

    Undang-undang itu juga membenarkan syarikat yang kini menikmati insentif pelaburan untuk memanfaatkan potongan cukai yang dipertingkatkan, termasuk liputan penuh 100 peratus untuk perbelanjaan tenaga.

    Setiausaha Kewangan, Ralph Recto menyatakan bahawa langkah itu akan ‘mengurangkan kos dengan ketara bagi sektor pembuatan’.

    Bagi perniagaan yang ditubuhkan sebelum penguatkuasaan undang-undang baharu ini, insentif bagi pelaburan strategik seperti pengecualian cukai import dan cukai nilai tambah (VAT) dilanjutkan sehingga 27 tahun, meningkat daripada tempoh sebelumnya sebanyak 10 tahun.

    Menurut kertas penerangan yang dikeluarkan oleh istana presiden, undang-undang tersebut dijangka menyebabkan kehilangan hasil cukai kerajaan sebanyak AS$100.6 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda