Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Filipina larang perkahwinan kanak-kanak

    MANILA, 6 JAN – Perkahwinan kanak-kanak tidak dibenarkan di Filipina hari ini apabila undang-undang melarang amalan itu mula berkuat kuasa di sebuah negara di mana seorang daripada enam kanak-kanak perempuan berkahwin sebelum usia 18 tahun.

    Negara Asia Tenggara miskin itu mempunyai kadar perkahwinan kanak-kanak ke-12 tertinggi di dunia, menurut kumpulan hak asasi berpangkalan di Britain, Plan International, dengan amalan budaya yang masih dipegang sekian lama dan ketidaksamaan jantina menghalang perubahan.

    Namun undang-undang baharu, ditandatangani oleh Presiden Rodrigo Duterte dan dikeluarkan kepada umum hari ini, menetapkan hukuman penjara sehingga 12 tahun jika berkahwin atau bersekedudukan dengan sesiapa sahaja di bawah usia 18 tahun.

    Orang yang mengatur perkahwinan atau mengahwinkan kanak-kanak bawah umur juga berdepan hukuman sama.

    “Negara…menganggap perkahwinan kanak-kanak sebagai satu amalan yang merangkumi penganiayaan kanak-kanak kerana ia tidak berasas, merendah, menjatuhkan nilai-nilai intrinsik dan maruah kanak-kanak,” menurut undang-undang itu.

    Kerajaan mengatakan undang-undang itu adalah konsisten dengan konvensyen antarabangsa mengenai hak wanita dan kanak-kanak.

    Walau bagaimanapun, sebahagian daripada undang-undang itu digantung selama setahun bagi membolehkan tempoh peralihan bagi orang Islam dan masyarakat asli yang mana perkahwinan kanak-kanak adalah lazim.

    Laporan tahun lalu oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengatakan lebih separuh bilion kanak-kanak perempuan dan wanita di seluruh dunia berkahwin semasa zaman kanak-kanak, dengan kadar tertinggi dikesan di sub-Sahara Afrika dan Asia Selatan.

    Namun data baru-baru ini menunjukkan amalan itu secara puratanya semakin menurun di seluruh dunia. – AFP

    Gambar serahan UNICEF menunjukkan kanak-kanak mengandung selepas berkahwin pada usia awal. – Agensi
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...