MANILA, 27 SEPT – Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos hari ini menandatangani undang-undang langkah mewujudkan pelan induk untuk meningkatkan pekerjaan di negara Asia Tenggara itu, lapor Xinhua.
Dalam ucapannya, Marcos berkata akta baharu itu akan membantu menyelesaikan cabaran yang membelenggu sektor buruh negara, seperti pekerjaan berkualiti rendah, ketidakpadanan kemahiran dan pengangguran.
Undang-undang baharu itu juga akan menangani keperluan untuk mengemas kini kemahiran pekerja Filipina dan menggalakkan penggunaan teknologi digital, khususnya dalam perusahaan mikro dan kecil.
Tindakan itu “akan meletakkan asas” untuk penjanaan dan pemulihan pekerjaan, kata Marcos.
Pihak Berkuasa Statistik Filipina berkata kadar pengangguran negara itu pada Julai tahun ini meningkat kepada 4.8 peratus daripada 4.5 peratus pada Jun, dengan sejumlah 2.27
juta orang rakyat Filipina tidak bekerja. – Bernama
