Filipina lulus vaksin China

MANILA, 22 FEB – Pengawal atur ubat Filipina memberi kelulusan kecemasan hari ini kepada vaksin koronavirus buatan China, Sinovac, dengan dos pertama dijangka tiba minggu ini – namun kakitangan kesihatan tidak akan menerima suntikan itu disebabkan keberkesanannya yang rendah.

CoronaVac adalah vaksin ketiga yang diluluskan bagi kegunaan kecemasan di negara itu namun setakat ini belum ada penghantaran dan kerajaan Presiden Rodrigo Duterte mendapat kritikan berhubung penangguhan kempen.

Beijing telah bersetuju untuk mendermakan 600,000 dos yang akan tiba dalam tiga hingga lima hari lagi, kata para pegawai – meskipun ragu-ragu tentang keselamatan dan keberkesanannya.

“Ia telah diputuskan…bahawa manfaat menggunakan vaksin itu melebihi potensi risiko dan diketahui,” kata Eric Domingo, ketua Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan.

CoronaVac boleh diberikan kepada orang dewasa berusia 18 hingga 59 tahun yang ‘sihat secara klinikal’ namun tidak disarankan untuk kakitangan kesihatan atau warga emas, katanya.

Jurucakap presiden, Harry Roque berkata kakitangan yang dianggap penting kepada ekonomi dan askar sepertinya akan menerima suntikan pertama.

Walaupun percubaan di Turki mendapati CoronaVac disahkan 91.25 berkesan, namun percubaan di Brazil hanya menunjukkan kadar keberkesanan sekitar 50 peratus.

Roque mempertahankan penggunaan vaksin Sinovac, mengatakan ‘ia lebih baik daripada tidak mempunyai perlindungan langsung’.

Kebanyakan para pemimpin dunia menjadi antara yang pertama di negara mereka menerima vaksin untuk merangsang keyakinan awam.

Namun Duterte lebih suka menunggu vaksin lain buatan China, Sinopharm, kata Roque, memetik usia tua presiden.

Vakin Sinopharm telah diberikan secara rahsia kepada anggota pasukan keselamatan Duterte tahun lalu walaupun ia belum lagi diluluskan untuk digunakan. – AFP