KLUANG, 15 Jan – Filipina meminta Malaysia untuk terus memainkan peranan penting membantu memuktamadkan proses damai di Mindanao dalam usaha memastikan kestabilan dan keamanan serantau dapat dipertahankan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata permintaan itu dibuat sendiri oleh Presiden Filipina, Rodrigo Roa Duterte pada perbincangan dua hala ketika lawatan sulungnya ke negara ini awal November lepas.
“Proses damai (di Mindanao) ini penting dalam konteks kestabilan, keamanan serantau dan sumbangan kita (Malaysia) kepada proses damai ini dan kepimpinan kita dalam Tim Pemantau Antarabangsa (TPA).
“Duterte ada minta untuk kita terus memainkan peranan dalam proses damai dan juga memimpin TPA,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Bukit Paloh, dekat sini, hari ini.
Hishammuddin berkata permintaan itu sekali lagi diulangi kerajaan Filipina pada Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum dan anggota TPA ketika lawatan Mohd Johari ke Ibu Pejabat TPA-Malaysia ke-11 (TPA-M 11) di Mindanao, Khamis lepas.

“Kerajaan Filipina dan MILF (Barisan Pembebasan Islam Moro) minta kita terus memimpin TPA bersama Brunei, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU).
“Ini untuk memastikan selatan Filipina ini tidak menjadi satu hotspot atau lokasi bagi mereka (militan) yang menjadi pelarian dari Syria dan Iraq,” katanya.
Hishammuddin juga mahu proses damai itu lancar dan dapat dimuktamadkan segera agar pengganas di sana tidak mengintai dan melihat Mindanao dan selatan Filipina sebagai satu potensi untuk mereka bertapak.
“Sama-samalah kita berdoa agar kita dapat cari jalan penyelesaian dan memastikan tidak ada ancaman yang dapat dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab khususnya di rantau kita,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sembrong.
Hishammuddin berkata dengan dibantu kepimpinan Duterte, beliau turut melihat ada suntikan baru untuk mencari penyelesaian dan pihak-pihak berkenaan (MILF dan MNLF – Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro) juga terlibat secara langsung, sekali gus memudahkan TPA.
TPA diketuai Malaysia dipimpin Mej Jen Datuk Zamrose Mohd Zain. Ia yang ditubuhkan pada 24 Ogos 2004 bertujuan untuk memastikan kedua-dua pihak mematuhi perjanjian gencatan senjata. – Bernama