Filipina namakan 11 pemberontak sebagai pengganas

MANILA, FILIPINA, 16 JUN – Kerajaan Filipina telah menamakan seorang bekas perunding damai dan lima suspek pemimpin pemberontak komunis lain sebagai ‘pengganas’ dalam satu langkah yang membenarkan pembekuan aset-aset kewangan mereka, yang pegawai-pegawai katakan boleh digunakan untuk membiayai serangan-serangan.

Majlis Antipengganasan secara berasingan menamakan lima ketua Abu Sayyaf, kumpulan militan yang kecil namun ganas di selatan negara itu, sebagai pengganas. Mereka telah dikaitkan dengan kumpulan Islamic State dalam satu pengumuman yang dibuat pada Rabu.

Pemberontakan komunis dan Muslim yang berpanjangan adalah antara masalah keselamatan utama yang akan diwarisi bakal presiden Ferdinand Marcos Jr apabila mengangkat sumpah pada 30 Jun ini.

Walaupun semakin lemah akibat berdekad-dekad serangan, pertempuran dalaman dan kepuakan, pemberontakan komunis dan Muslim kekal menjadi ancaman keselamatan negara.

Enam pemimpin pemberontak itu dituduh menganggotai Parti Komunis Filipina, cabangnya iaitu Tentera Rakyat Baharu dan pertubuhan-pertubuhan berkaitan diketuai oleh Luis Jalandoni, bekas paderi Katolik Roman yang menyertai pemberontakan komunis berkenaan, salah satu yang paling lama berlarutan di Asia.

Dia menjadi terkenal sebagai ketua perunding pemberontak selama berdekad-dekad dalam rundingan-rundingan damai bersama kerajaan Filipina yang dikendalikan oleh Norway sehingga dia bersara. Keberadaannya tidak diketahui.

Majlis Antipengganasan berkenaan berkata bahawa Jalandoni dan lima pemberontak komunis berpangkat tinggi lain itu dinamakan sebagai pengganas di bawah undang-undang

Filipina disebabkan apa yang dipercayai penglibatan dalam pergerakan pemberontakan berkenaan serta tindakan pengganasan lampau dan masa depan. Ia tidak menjelaskan lanjut atau memetik sebarang bukti.

Pemberontak-pemberontak mengecam tindakan kerajaan menamakan Jalando yang berusia 87 tahun dan yang lain sebagai “memutarbelitkan kebenaran yang melampau”.

“Ia dibuat tanpa asas dan tidak memetik fakta kehakiman khusus. Ia bermatlamat untuk memburuk-burukkan mereka dan mengehadkan hak-hak demokratik mereka,” Parti Komunis Filipina berkata dalam satu kenyataan. – AP

Perwakilan kerajaan Filipina Alexander A. Padilla (kiri) dan Luis G. Jalandoni bertukar dokumen sebelum menyambung rundingan damai di Asker, kira-kira 20km selatan Oslo, Norway pada 15 Februari 2011. – AP