MANILA, 6 JAN – Filipina melaporkan kadar jangkitan positif tertinggi COVID-19 hari ini, pada 36.9 peratus dan merekodkan 17,220 kes baharu, melonjakkan jumlah kes disahkan di negara itu kepada 2,888,917.
Jabatan Kesihatan (DOH) melaporkan terdapat 43 kes varian Omicron disahkan di negara itu selepas mengesan lebih 29 lagi kes. Daripada 43 kes itu, 21 adalah import dan 22 kes tempatan.
DOH turut mengesahkan 81 mati akibat komplikasi COVID-19, membawa jumlah kematian di negara itu kepada 51,743 orang. Ia bagaimanapun menjelaskan kadar kematian menurun sejak pemvaksinan tersedia.
Varian mudah berjangkit Omicron dan Delta memacu penularan pantas, meletakkan negara itu kembali ke klasifikasi ‘berisiko tinggi’ COVID-19. Kadar kemasukan ke hospital juga meningkat di seluruh negara dan Metro Manila.
Bagi mengekang penularan virus, kerajaan melarang perhimpunan ramai dan menggesa orang yang tidak divaksin di Metro Manila dan kawasan berhampiran ibu negara untuk kekal di rumah.
Negara itu bergelut dengan gelombang ketiga jangkitan sejak pandemik bermula. DOH melaporkan pengiraan tertinggi kes pada 11 September 2021, dengan 26,303 kes.
Filipina yang mempunyai sekitar 110 juta populasi, menguji hampir 24 juta penduduk sejak wabak. – Xinhua