MANILA, 15 JULAI – Pasukan pengaman asing diberikan pujian atas bantuan mereka meredakan pertempuran berdarah antara pihak kerajaan dan pemberontak selama bertahun-tahun dan kini meninggalkan Filipina selepas pegawai-pegawai memutuskan untuk menamatkan bantuan tersebut.
Namun, rundingan masih dijalankan untuk membenarkan kemungkinan pasukan pengaman tersebut dipanggil semula, menurut pegawai dan pihak pemberontak hari ini.
Anggota-anggota Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) yang diketuai oleh Malaysia, meninggalkan wilayah selatan Mindanao pada 30 Jun lalu selepas tugasan mereka sebagai pemantau, yang mesti diperbaharui setiap tahun, tidak lagi dilanjutkan oleh bekas pentadbiran mantan presiden Filipina, Rodrigo Duterte.
Ia masih belum jelas sama ada presiden baharu Filipina, Ferdinand Marcos Jr akan membenarkan pasukan pengaman untuk kembali. Pemberontakan selama berabad-abad adalah antara masalah utama yang beliau perlu hadapi selepas dilantik menjadi presiden pada 30 Jun selepas kemenangan besar dalam pilihan raya.
Mula dikerahkan pada 2004, IMT pada awalnya terdiri daripada pasukan pengaman tentera dari Malaysia, Brunei dan Libya bagi membantu memantau penguatkuasaan perjanjian gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), kumpulan pemberontak Islam terbesar di selatan, yang menandatangani perjanjian damai dengan pihak kerajaan pada 2014.
Kesatuan Eropah, Jepun, Norway dan Indonesia kemudian menghantar tenteranya atau pakar awam untuk menyertai IMT, yang turut membantu memantau isu kemanusiaan dan bantuan pemulihan komuniti yang dihimpit peperangan.
Ketika pertempuran semakin mereda sejak beberapa tahun kebelakangan, 60 anggota IMT secara perlahan-lahan dikurangkan.
Kontinjen terakhir yang mengandungi 20 orang anggota pengaman meninggalkan selatan Filipina dua minggu lalu. – AP