Filipina tangguh persekolahan

MANILA, 14 OGOS – Filipina menangguhkan pembukaan sekolah tahun ini kepada bulan Oktober kerana peningkatan jangkitan COVID-19 dan bersedia mengubah kelas-kelas menjadi kemudahan kuarantin.

Seluruh sekolah di negara itu ditutup sejak pertengahan Mac apabila kerajaan Presiden Rodrigo Duterte melaksanakan sekatan pergerakan berbulan-bulan dalam usaha mengurangkan penularan jangkitan.

Kebiasaannya persekolahan bermula pada Jun, namun ditukar kepada 24 Ogos dan kini dijadualkan bermula pada 5 Oktober.

Sebahagian besar pihak berkuasa menolak kelas diadakan seperti biasa selepas Duterte mengatakan pelajar harus tinggal di rumah sehingga vaksin virus dapat disediakan. Filipina dijadual-kan memulakan ujian secara besar-besaran terhadap vaksin Russia pada bulan Oktober dengan kelulusan terhadap ubat itu dijangka pada bulan April, menurut garis waktu yang dikeluarkan kerajaan, Khamis lalu.

Sementara itu, 20 juta pelajar akan mengikuti persekolahan membabitkan gabungan kelas dalam talian, televisyen dan radio, namun wujud kekangan terhadap pelajar dari keluarga miskin yang tiada kemudahan internet.

Filipina mencatatkan jangkitan paling banyak di Asia Tenggara dengan lebih 153,000 jangkitan dan 2,442 kematian. – AFP

Seorang lelaki memakai PPE membersihkan kawasan diletakkan di bawah perintah sekatan dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di Caloocan, ketika negara itu menangguhkan sesi persekolahan sehingga Oktober kerana virus. – AP