Filipina titik panas eksploitasi seksual online kanak-kanak

MANILA, FILIPINA, 21 MEI – Filipina muncul sebagai kawasan titik panas global bagi eksploitasi seksual online kanak-kanak dan perintah berkurung koronavirus yang memaksa berjuta-juta rakyatnya duduk di rumah mungkin memburukkan lagi penderaan tersebut, kata pegawai AS hari ini.

Satu kajian baharu dikeluarkan oleh International Justice Mission berpangkalan di Washington hari ini mengatakan kes-kes eksploitasi seksual online kanak-kanak Filipina meningkat mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan ibu bapa bersubahat menjadikan anak-anak mereka mangsa untuk mendapatkan wang. Kumpulan bukan kerajaan itu membantu menjejak dan mendakwa pelakunya di Filipina.

“Perintah berkurung global akibat pandemik COVID-19 tampaknya meningkatkan lagi fenomena ini,” pegawai Jabatan Negara AS, John Richmond yang memantau usaha-usaha AS memerangi pemerdagangan manusia, menjelaskan pada pelancaran online kajian itu.

Dalam kebanyakan kes, ‘penyeludup manusia sebenarnya adalah ibu bapa atau keluarga

terdekat kanak-kanak yang dieksploitasi,” kata Richmond.

“Dan arahan perintah berkurung bermakna kanak-kanak dikurung bersama penyeludup mereka.”

Skim eksploitasi seksual secara kamera web itu membabitkan pedofilia di AS, Kanada, Eropah dan Australia yang membayar fasilitator untuk mendera kanak-kanak secara seksual, termasuk anak damit, dalam privasi kediaman mereka di Filipina. Mereka menonton dan membantu mengarahkan penderaan melalui perkhidmatan penstriman langsung online. – AP

Gambar fail 20 April 2017 menunjukkan ahli Biro Penyiasatan Kebangsaan dan FBI mengumpulkan bukti di kediaman seorang warga Amerika disyaki operator seks siber kanak-kanak semasa satu serbuan di Mabalacat, Filipina. – AP