Filippo Ganna kekal kejuaraan ujian masa

BRUGES, BELGIUM, 20 SEPT – Pelumba Itali, Filippo Ganna mengekalkan kejuaraan ujian masa di Kejohanan Lumba Basikal Dunia di Bruges, semalam.

Pelumba Ineos berusia 25 tahun itu mempertahankan gelarannya dengan menewaskan pelumba tuan rumah, Wout van Aert dari pasukan Jumbo sebanyak lima saat, mengulangi kemenangan ke atas lawan sama tahun lalu.

Seorang lagi pelumba Belgium, Remco Evenepoel menduduki tempat ketiga, 43 saat di belakang pada perlumbaan landai sejauh 43.3km di ibu kota Belgium itu.

“Keadaan fizikal saya bertambah bagus sejak minggu lalu,’’ kata Ganna yang menduduki tempat kedua di belakang pelumba Switzerland, Stefan Kueng di Kejohanan Eropah baru-baru ini.

“Saya berlatih di laluan mendaki bagi mempertahankan jersi ini dan saya harap mengulanginya lagi tahun depan.’’

Van Aert pula sangat kecewa. ‘’Perak yang saya dapat sedangkan sasaran utama ialah emas,’’ katanya. “Sudah tentu saya puas hati dengan catatan masa dan prestasi tetapi kecewa terlepas gelaran secara tipis sahaja.’’

Ganna tiba di Bruges selepas membantu pasukan Itali memenangi emas acara pecut berpasukan di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan dia hampir menjuarai acara ujian masa.

Evenepoel mencatat masa terpantas untuk ujian masa, tetapi akhirnya dikalahkan oleh dua pelumba terakhir, van Aert dan kemudian Ganna.

Ia adalah kemenangan berbasikal jalan ke-16, dan ke-14 dalam ujian masa, bagi pelumba Itali berusia 25 tahun itu, yang juga pemenang pingat gangsa dunia pada tahun 2019 dan pengalaman dalam Jelajah Utama telah menyaksikannya meraih lima kemenangan peringkat di Giro d’Italia sejak dua musim yang lalu. – AFP

Reaksi pelumba Itali, Filippo Ganna dari pasukan Ineos Grenadiers semasa meraikan kemenangannya dalam perlumbaan ujian masa sejauh 43.3 km dari Knokke-Heist ke Brugge, semalam, di wilayah Belgium, Flanders. – AFP