Fimie pernah mahu berhenti berlakon

Mula menceburi dunia lakonan semenjak kanak-kanak, Fimie Don mengakui minatnya dalam bidang itu tidak pernah berkurang sehingga ke hari ini.

Melalui fasa jatuh bangun dalam kerjaya seni, Fimie atau nama sebenarnya Shafimie Saedon, 23, yakin bakatnya masih dihargai ramai. Kongsi Fimie, dia pernah berhasrat meninggalkan dunia lakonan sebelum ini kerana kecewa dengan industri yang mengutamakan jumlah pengikut di laman sosial untuk tawaran lakonan.

Bagaimanapun, harapan dan keyakinan yang diberikan pengarah drama terkenal, Heykal Hanafiah, berjaya memberi semangat baharu buatnya.

“Sebenarnya kalau tak kerana abang Heykal ambil saya berlakon dalam sebuah drama arahannya sebelum ini, mungkin sekarang saya sudah tidak berlakon.

“Dia berjaya pujuk dan mahu saya terus berkongsi bakat. Alhamdulillah saya masih di sini hari ini dan harap semangat itu terus kekal dalam diri.

Mula menceburi dunia lakonan semenjak kanak-kanak, Fimie Don mengakui minatnya dalam bidang itu tidak pernah berkurang sehingga ke hari ini. – Agensi

“Pengalaman itu membuatkan saya lebih matang dan realistik dalam hidup. Tak perlu berputus asa dengan sedikit kekurangan yang ada, sebaliknya bersyukur dengan kelebihan dimiliki,” ujarnya.

Mengulas lanjut soal populariti berdasarkan jumlah pengikut di laman sosial, Fimie yang pernah popular menerusi drama Hikayat Putera Shazlan, berkata, dia hanya melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri.

“Jika bercakap soal jumlah pengikut di media sosial, itu adalah permintaan stesen TV dan kita tidak boleh buat apa.

“Cuma sebagai pelakon, saya cuba melakukan yang terbaik untuk setiap peluang diberikan. Saya percaya ada pengarah yang masih mementingkan bakat melebihi hal-hal lain.

“Saya juga yakin penonton kini lebih menghargai kualiti cerita dan bakat pelakon, bukan populariti semata-mata,” katanya.

Perkara itu dibuktikan Fimie menerusi penampilan terbaharunya dalam drama Ali Alia, arahan Heykal Hanafiah yang kini bersiaran di saluran Astro Prima.

“Saya amat berbesar hati apabila ditawarkan untuk membintangi drama ini yang tampil dengan jalan cerita berbeza mengenai remaja autisme.

“Penceritaannya bukan hanya pada skrip, tapi banyak aspek lain turut diberikan perhatian dengan cukup teliti. Saya yakin ramai akan sukakan naskhah ini selepas menonton nanti.

“Apatah lagi kesemua pelakon dalam drama ini memberikan yang terbaik untuk menghidupkan watak mereka,” katanya.– Agensi