Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Pertandingan penggodaman komputer tahunan Cyber Battle: Capture The Flag (CTF) kembali lagi dengan peringkat akhir akan berlangsung pada 20 Ogos di Tarindak D’Seni di ibu negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan ITPSS Sdn Bhd selaku penganjur acara, pusingan kelayakan diadakan secara dalam talian minggu lalu, dengan 22 pasukan tempatan bersaing untuk menempah tempat di final.
Selain pasukan tempatan, pertandingan tahun ini akan menyaksikan penyertaan peserta dari universiti sekitar Borneo. ITPSS telah menjemput universiti yang merupakan ahli Konsortium Komputeran dan Informatik Borneo (KKIB) untuk menyertai pertandingan itu.
Enam pasukan dari universiti KKIB akan bertanding minggu depan, termasuk dua pasukan dari Universiti Teknologi Brunei.
Pertandingan kekal sama seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu Capture The Flag dalam gaya Jeopardy di mana pasukan akan menyelesaikan cabaran dalam kategori berbeza seperti analisis paket, forensik digital dan kriptografi.

Setiap cabaran yang selesai akan mendedahkan ‘bendera’ yang mesti diserahkan untuk mendapatkan mata.
Hadiah wang tunai $3,500, $2,500 dan $1,500 menanti tiga pasukan terbaik dalam
kategori terbuka, manakala hadiah wang tunai serupa turut ditawarkan untuk kategori KKIB.
Di samping itu, hadiah bonus $1,000 akan diberikan kepada satu pasukan dengan skor tertinggi keseluruhan daripada kedua-dua kategori.
Bagi melengkapkan pertandingan, satu siri pembentangan oleh pakar teknologi tempatan akan diadakan di tempat yang sama. Ceramah akan merangkumi topik seperti blockchain, deepfakes dan artificial intelligence.
Acara berkenaan terbuka kepada orang ramai dan kehadiran adalah percuma.