Finalis Brunei kongsi penyelidikan cegah kebakaran tanah gambut

Oleh Sim Y. H.

Gambar serahan Dr Wida Susanty

Kita harus berani mencuba dan mengambil tindakan yang berguna daripada tidak melakukan apa-apa serta menjadi contoh kepada generasi akan datang.

Sebagai seorang manusia dan mentor, adalah amat penting untuk memberikan galakan dan tunjuk ajar kepada pelajar, rakan sejawatan dan wanita lain bahawa penyelidikan boleh sahaja dilakukan dan jika dilakukan dengan betul, tanpa mengira apa pun pencapaiannya, ia merupakan sesuatu yang amat berbaloi untuk dilakukan.

Di Brunei, sokongan bagi penyelidikan dalam kalangan pihak industri kecuali minyak dan gas perlu dipertingkatkan dan oleh itu, kita harus bergerak ke hadapan dan meneroka bidang penyelidikan sains dan teknologi supaya dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Harapan itu dikongsi oleh Penolong Profesor, School of Computing dan Informatics, Universiti Teknologi Brunei, Dr Wida Susanty binti Haji Suhaili yang merupakan finalis Brunei bagi Hadiah Sains ASEAN-AS untuk Wanita 2020 dalam temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.

Pemilihan sebagai finalis

Mengulas mengenai pemilihannya sebagai finalis dalam anugerah berkenaan, beliau menjelaskan bahawa tema anugerah tersebut, penjagaan kesihatan pencegahan (preventive healthcare) di mana penyelidikannya akan mengutamakan kepada penggunaan teknologi untuk memperbaiki lagi kehidupan.

Dr Wida Susanty dan para pelajar membentangkan projek mereka semasa Computational Intelligence in Information Systems (CIIS) pada 2018.
Dr Wida Susanty semasa menjalankan penyelidikan bersama mahasiswa di Badas, Kuala Belait.
Dr Wida Susanty semasa menjalankan tugas penyelidikannya.
Gambaran dekat sebahagian tanah gambut.

Beliau menjelaskan penyelidikannya itu mengetengahkan tentang pencegahan kebakaran hutan khusus di kawasan tanah gambut menerusi penggunaan Internet of Things (IOT) di mana kebakaran tanah gambut jika tidak dikawal boleh menyebabkan berlakunya jerebu dan pencemaran udara yang akan memberikan kesan negatif kepada ekonomi, kesihatan manusia, alam sekitar dan iklim.

Apabila kualiti udara merosot, jelasnya, ia akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.

Dr Wida Susanty menerangkan bahawa penyelidikannya melibatkan penggunaan sensor untuk memantau parameter dalam pencegahan kebakaran hutan di mana jika kita dapat menghentikan kebakaran hutan daripada berlaku ia setentunya akan mencegah berlakunya jerebu.

Beliau turut menerangkan bahawa kebakaran tanah gambut akan menghasilkan jumlah zarah halus yang banyak yang setentunya boleh membahayakan kesihatan. Pada masa yang sama, jelasnya lagi, penyelidikannya turut menangani isu sumber air di hutan tanah gambut.

Oleh itu, adalah amat penting penyelidikannya untuk mengesan dan mencegah api sebelum berlakunya kebakaran hutan sebagai kaedah untuk meminimumkan kerosakan dan kerugian daripada kebakaran hutan tanah gambut.

Dr Wida Susanty berkata bahawa idea untuk penyelidikan itu bermula daripada penyeliaan yang dilakukan ke atas salah satu projek akhir tahun di mana ia menggunakan Rangkaian Sensor Tanpa Wayar dalam pengesanan kebakaran hutan.

Beliau menerangkan bahawa sebagai seorang penyelia dan penyelidik, beliau percaya bahawa penyelidikan itu perlu memberikan impak kepada masyarakat dan ke arah itu, ia memerlukan pengurusan masa yang baik.

Demi kesedaran sosial

Dr Wida Susanty turut mengongsikan yang pada mulanya beliau tidak berniat untuk menyertai anugerah berkenaan tetapi sebagai sokongan kepada usaha ASEAN Foundation, beliau menghantar penyelidikannya dan menumpukan kepada sebab utama mengapa beliau masih terlibat dengan projek tanah gambut itu.

Apabila beliau mendapat pemberitahuan bahawa projeknya terpilih sebagai finalis Brunei, Dr Wida Susanty menyatakan perasaan amat bersyukur dan bangga dipilih sebagai finalis untuk Negara Brunei Darussalam.

“Saya merasakan bahawa ia merupakan satu peluang bagi saya untuk mendekati masyarakat dan mereka yang berkenaan. Kesedaran sosial merupakan salah satu bidang kritikal penyelidikan juga.

“Saya berharap untuk berkongsi dan menjana lebih banyak kesedaran mengenai pentingnya untuk mengekang kebakaran hutan tanah gambut dan bagi pemuliharaan tanah gambut.”

Dr Wida Susanty juga menyatakan penghargaan kepada suami, keluarga, rakan-rakan pelajar, rakan sejawatan, pihak yang berkepentingan, rakan penyelidikan atas sokongan serta kepercayaan terhadapnya.

“Bersama kita berusaha bagi satu matlamat bersama. Bersendirian, saya bergerak pantas dan bersama, kita ber-gerak lebih jauh,” ujarnya lagi memberi kata-kata semangat kepada masyarakat untuk sama-sama berganding bahu.