Financoin juarai Teen in AI

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Fasa terakhir program Teen in AI berakhir kelmarin dengan Hari Demo secara maya di mana Financoin diumumkan sebagai pemenang tempat pertama.

Manakala itu tempat kedua dimenangi AI Fourturistics dan 3REKA menduduki tempat ketiga.

Menurut kenyataan yang diberikan, idea Financoin adalah untuk menggalakkan celik kewangan dengan membantu belia kekal berdedikasi dalam mengurus kewangan melalui penyediaan platform belanjawan pelbagai fungsi dengan ganjaran.

Manakala itu, AI Fourturistics pula mengusahakan EnvironCycle, sebuah aplikasi yang menggalakkan kitar semula dengan menyediakan akses mudah kepada maklumat dan data untuk pengguna mula mengitar semula dengan mudah melalui ciri geo-locator.

Pasukan 3REKA pula menawarkan pengimbas pengasingan sampah yang menyediakan sistem berasaskan ganjaran untuk menggalakkan amalan kitar semula.

Fasa 3 program tersebut adalah program accelerator di mana 10 pasukan teratas daripada Fasa 2, terdiri daripada 45 orang pelajar dari tujuh buah sekolah di seluruh negara mengikuti pengajian, bimbingan dan sokongan untuk mengembangkan idea kemenangan mereka selama 14 hari.

Program itu merupakan hasil kerjasama antara Darussalam Enterprise (DARe), Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Bank Baiduri Berhad, Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), Unified National Networks Sdn Bhd dan Dynamik Technologies Sdn Bhd serta disokong oleh Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP) di Kementerian Pendidikan dengan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) sebagai rakan kongsi strategik.

Antara objektif program adalah untuk menyediakan platform membentuk kemahiran dan pengetahuan remaja sebagai sebahagian daripada aspirasi Industri 4.0 Negara Brunei Darussalam yang membayangkan kelestarian, ekosistem permulaan kolaboratif yang menyokong inovasi dan pertumbuhan dengan membangun dan menggunakan kemahiran digital dan kepimpinan dalam kalangan belia Brunei.

Hakim-hakim daripada organisasi penaja semasa Hari Demo bersama perwakilan Teen in AI. – Gambar serahan DARe