Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Finland mohon keahlian NATO

    HELSINKI, 15 MEI – Finland akan memohon untuk menjadi ahli NATO, demikian menurut pengumuman presiden dan perdana menteri negara Nordic itu hari ini, didorong oleh serangan Rusia ke atas Ukraine.

    “Hari ini, Presiden Republik dan Jawatankuasa Dasar Luar Kerajaan telah mencapai persetujuan bahawa Finland akan memohon keahlian NATO, selepas berunding dengan parlimen. Hari ini adalah hari bersejarah. Era baharu akan bermula,” kata Presiden Sauli Niinisto.

    Dalam langkah seterusnya, parlimen Finland akan bersidang esok untuk memperdebatkan keputusan tersebut, dengan ramalan terkini menunjukkan majoriti daripada 200 anggota parlimen negara menyokong bidaan itu.

    “Hari ini, kami telah mencapai keputusan penting dengan kerjasama daripada kerajaan dan presiden republik. Kami berharap parlimen akan mengesahkan keputusan untuk memohon keahlian NATO pada masa terdekat. Ia akan berdasarkan pada mandat yang kukuh,” kata Perdana Menteri Sanna Marin.

    Berkongsi sempadan sepanjang 1,300 kilometer dengan Rusia, Finland masih mengekalkan dasar berkecuali sejak 75 tahun lalu.

    Namun selepas negara jirannya menyerang Ukraine pada Februari, tinjauan politik dan awam dengan segera memihak kepada penyertaan NATO, dengan presiden dan perdana menteri Finland pada Khamis menggesa negara supaya menjadi ahli NATO ‘tanpa berlengah-lengah lagi.’

    Sementara itu, Rusia telah mengingatkan mengenai akibatnya jika Helsinki menyertai perikatan NATO.

    Awal minggu ini, Niinisto memberitahu wartawan bahawa ‘penyertaan NATO tidak akan menentang sesiapa.’ – AFP

    Sanna Marin (kiri) dan Sauli Niinisto mengadakan sidang media untuk mengumumkan Finland akan memohon keahlian NATO di Istana Presiden di Helsinki, Finland kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...