KUALA LUMPUR, 23 MEI – Syarikat teknologi kewangan (fintech) Malaysia, Finology telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Seedstars World 2020/2021, kata Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).
Mewakili Asia, syarikat berkenaan telah bertanding dengan syarikat-syarikat terkemuka dari empat rantau lain iaitu Afrika, Eropah Tengah dan Timur (CEE), Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) dan Amerika Latin (LATAM).
Para peserta dinilai berdasarkan daya tarikan, skalabiliti, keuntungan dan daya tahan produk masing-masing, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Finology, Robin Ang berkata syarikat berhasrat meningkatkan teknologi untuk menghasilkan lebih banyak kecekapan dalam mendapatkan produk kewangan sambil menyuntik pertumbuhan baharu dalam servis kewangan.
Seedstars, sebuah syarikat pegangan pelaburan berpusat di Swiss mengadakan Pertandingan Seedstars untuk mencari syarikat pemula niaga yang mempunyai harapan cerah dari rantau Asia, Afrika, CEE, MENA, dan LATAM setiap tahun. – Bernama



































