Fintech jadikan kewangan Islam lebih kompetitif – Amiruddin

KUALA  LUMPUR, 3 OKT – Teknologi kewangan (Fintech) akan membolehkan kewangan Islam menarik lebih ramai pelanggan, meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan membantu sektor itu menjadi lebih kompetitif tanpa mengabaikan keuntungan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata walaupun banyak pihak melabelkan fintech sebagai ancaman kewangan Islam sebelum ini, kerajaan sebaliknya mendapati ia menawarkan perkhidmatan saling melengkapi bagi meningkatkan keupayaan kewangan Islam untuk menjangkau audiens dan pasaran lebih luas.

“Fintech adalah peluang yang dunia Muslim tidak boleh ketinggalan.

“Keistimewaan fintech ialah ia dapat disesuaikan dan diubah suai menggunakan pelbagai kaedah bagi membolehkan kita mewujudkan perkhidmatan kewangan Islam yang amat sukar dilaksanakan dalam industri perbankan.

“Malah, industri fintech juga mempunyai halangan penyertaan yang lebih rendah yang membolehkan belia berpeluang menceburi industri kewangan yang lebih luas dan berusaha menghasilkan perniagaan sendiri,” katanya dalam ucap tama dalam Sidang Kemuncak Fintech Islam Global kedua 2019 di sini hari ini. – Bernama