Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Fintech pacu sumbangan sektor kewangan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Pandemik COVID-19 telah mempercepatkan penghijrahan digital bagi pengguna dan peniagaan global di mana ia menyumbang kepada perkembangan teknologi kewangan (fintech) dengan teknologi diperkenalkan ke dalam kebanyakan transaksi serta perkhidmatan kewangan.

    Di Negara Brunei Darussalam di mana pasaran kewangan adalah kecil, institusi-institusi kewangan telah memanfaatkan fintech untuk mengembangkan jangkauan mereka kepada orang ramai serta menyediakan pengguna akses kepada perkhidmatan kewangan serta terus kompetitif dalam persekitaran baharu.

    Negara Brunei Darussalam juga telah mengenal pasti fintech sebagai satu pemacu utama dalam meningkatkan sumbangan sektor kewangan negara kepada 8 peratus KDNK menjelang 2035 daripada 5.6 peratus pada 2020.

    Dapatan itu dibuat dalam Laporan Konsultasi Tahunan bagi Negara Brunei Darussalam yang diterbitkan oleh Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), baru-baru ini, di mana ia menunjukkan bahawa ekosistem fintech Brunei telah mencatatkan perkembangan yang amat baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AMRO, di sini, perkembangan itu adalah hasil daripada inisiatif-inisiatif kerajaan yang menyokong ke arah mengembangkan ekonomi digital serta permintaan yang meningkat bagi perkhidmatan kewangan digital dalam negara yang dirangsang oleh transaksi digital di tengah-tengah pandemik itu.

    Kenyataan menerangkan bahawa Brunei Darussalam telah menubuhkan Fintech Regulatory Sandbox pada Februari 2021 yang membolehkan syarikat-syarikat fintech berkelayakan untuk menguji produk-produk mereka dalam persekitaran pengawalseliaan yang fleksibel bagi tempoh masa yang terhad dan dalam sempadan yang telah ditetapkan.

    Di samping itu, langkah-langkah sokongan dasar dan kawalan pandemik negara termasuk penjarakan sosial dan pengecualian caj dan yuran bank bagi pemindahan wang antara bank secara dalam talian semasa pandemik telah menyumbang kepada peningkatan cepat dalam penggunaan platform e-dagang dan pembayaran digital.

    Oleh itu, produk-produk kewangan digital baharu telah dibangunkan untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi perkhidmatan kos rendah dan mudah khususnya dalam bidang-bidang pembayaran digital serta insurans dan kiriman wang seperti DSTPay, Beep Digital Solutions dan Takaful Brunei Mobile.

    Kenyataan menerangkan bahawa dengan memanfaatkan kemajuan teknologi, fintech berupaya untuk memacu penyelesaian kewangan inovatif yang akan menjadikan peruntukan perkhidmatan kewangan lebih murah dan efisien serta pada masa yang sama, mempromosikan rangkuman kewangan.

    Menurut kajian pada 2016 oleh Oliver Wyman, tambah kenyataan, teknologi digital dianggarkan dapat meningkatkan pendapatan dan menjimatkan kos dalam industri insurans dan perbankan global sebanyak kira-kira AS$1 trilion atau kira-kira 17.5 peratus pendapatan industri.

    Dapatan daripada sebuah laporan ADB menunjukkan bahawa penyelesaian kewangan digital boleh mengisi 40 peratus jurang dalam volum pembayaran dan kira-kira 20 peratus keperluan kredit isi rumah miskin dan peniagaan-perniagaan kecil di Asia yang tidak dipenuhi.

    Inovasi perkhidmatan kewangan dipacu oleh fintech akan memberikan manfaat kepada ekonomi Brunei dengan mengurangkan kos transaksi dan operasi, meningkatkan rangkuman kewangan dan mempromosikan pembangunan kewangan Islam.

    Menerusi platform digital, syarikat permulaan fintech dan institusi kewangan dalam negara dapat mengembangkan skala dan skop perkhidmatan kewangan mereka kepada lebih ramai pelanggan khususnya dalam kalangan penduduk yang tidak mempunyai bank dan mereka yang celik digital serta mengurangkan kebergantungan kepada kakitangan dan cawangan fizikal.

    Pada masa yang sama, sebuah ekosistem fintech yang kompetitif dan berintegrasi akan mempromosikan kebolehoperasian dan mengurangkan kos pemindahan dana bagi transaksi merentas sempadan dan domestik.

    Perkhidmatan kiriman digital mampu dimiliki adalah amat mustahak bagi jumlah besar pekerja asing di dalam negara yang merangkumi lebih daripada 20 peratus jumlah penduduk keseluruhan.

    Brunei Darussalam juga boleh meningkatkan kepakarannya dalam perkhidmatan kewangan khusus (niche) yang patuh dengan prinsip Islam supaya perkhidmatan berkenaan dapat dikembangkan ke pasaran serantau dan antarabangsa dengan klien Muslim.

    Syarikat-syarikat fintech dan institusi kewangan boleh membangunkan dan bereksperimen dengan penyelesaian kewangan digital inovatif masing-masing yang mengikut undang-undang syariah dalam bidang pembiayaan ramai (crowdfunding), peminjaman mikro (micro-lending) dan platform insurtech, khususnya dalam rangka kerja regulatory sandbox.

    Di kalangan anggota ASEAN, Negara Brunei Darussalam mempunyai indeks pembangunan manusia kedua tertinggi dan indeks penerimaan digital ketiga tertinggi, yang menunjukkan literasi kewangan dan kualiti kehidupan yang tinggi.

    Keadaan yang menguntungkan itu, bersama-sama dengan langganan telefon bimbit dan Internet yang tinggi, menyediakan persekitaran membo-lehkan untuk menguji produk-produk kewangan digital Islam dan lain dalam sebuah pasaran kecil.

    Kenyataan juga menyatakan bahawa komitmen pihak autoriti untuk mengukuhkan proses permohonan sandbox dan memendekkan tempoh penilaian permohonan dalam jangka masa terdekat adalah amat dialu-alukan di mana ia akan menyumbang kepada pembangunan lanjut sebuah ekosistem fintech yang menarik.

    Sementara itu, lebih banyak usaha adalah diperlukan untuk meningkatkan sekuriti, keberkesanan dan kemakmuran pembangunan fintech.

    Mempromosikan sekuriti siber serta meningkatkan keupayaan pengawal seliaan adalah amat penting untuk memastikan perlindungan penggunaan dan data serta juga mengekalkan kepercayaan awam dan kestabilan kewangan.

    Inisiatif-inisiatif pihak berkuasa untuk membangunkan infrastruktur berintegrasi dan inovatif adalah amat diperlukan bagi menubuhkan sebuah ekosistem fintech yang kompetitif dan inklusif.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...