Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fiorentina gugat kedudukan Juventus

    MILAN, 16 Jan – Fiorentina membantutkan impian kejuaraan Juventus dengan kemenangan 2-1 di Florence awal pagi tadi.

    Pengendali Fiorentina Paulo Sousa bersemangat tinggi untuk mengejutkan pendahulu Serie A itu apabila rakan sejawatannya di Juventus, Massimiliano Allegri kelmarin menegaskan kedatangan mereka adalah untuk menguasai Stadium Artemio Franchi.

    Selepas menguasai babak pertama yang menyaksikan Fiorentina terlepas beberapa peluang keemasan untuk membuka jaringan, kata-kata Allegri seperti memakan diri.

    Kemenangan Fiorentina itu adalah kekalahan keempat Juve dalam 20 perlawanan untuk meletakkan juara bertahan itu, yang mempunyai satu perlawanan di tangan, hanya satu mata di depan Roma.

    Napoli empat mata di belakang pendahulu untuk berada di tangga ketiga dan Lazio lima mata ketinggalan.

    Mengakui Fiorentina yang diberi jolokan Viola itu memberikan lebih daripada 100 peratus, Allegri berkata: “Ia membantutkan hasrat kami, tetapi kami masih mempunyai peluang untuk mendahului dengan kelebihan empat mata.

    Aksi pemain Fiorentina, Nikola Kalinic (kiri) dan pemain Juventus, Paulo Dybala bersaing mengawal bola semasa perlawanan bola sepak serie A antara Fiorentina dan Juventus di Stadium Artemio Franchi di Florence, Itali, kelmarin. – AP
    Aksi pemain Fiorentina, Nikola Kalinic (kiri) dan pemain Juventus, Paulo Dybala bersaing mengawal bola semasa perlawanan bola sepak serie A antara Fiorentina dan Juventus di Stadium Artemio Franchi di Florence, Itali, kelmarin. – AP

    “Lawan kami biasanya akan bermain bermati-matian bertemu kami, mereka memberikan lebih 100 peratus, jadi kami tidak mampu untuk beraksi kurang daripada itu.

    “Roma dan Napoli mengekori rapat di belakang, jadi ia mungkin akan menjadi saingan sengit hingga akhir. Tetapi kami akan belajar daripada kekalahan ini.”

    Fiorentina yang bersemangat tinggi dari sepak mula, dan penyerangnya Matias Vecino hanya mengambil masa tujuh minit untuk menguji penjaga gol Juve Gianluigi Buffon.

    Selepas deretan percubaan ke arah gawang pelawat, Fiorentino akhirnya memecah kebuntuan menerusi Nikola Kalinic pada minit ke-37.

    Selepas rehat, Fiorentina melebarkan kedudukan hasil jaringan Milan Badelj pada minit ke-54 dan Gonzalo Higuain merapatkan kedudukan empat minit berselang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda