Fiorentina gugurkan Gattuso?

ROM, 17 JUN – Gennaro Gattuso mungkin bakal meninggalkan Fiorentina selepas tiga minggu dilantik menjadi jurulatih, menurut laporan di Itali kelmarin.

Bekas pengendali Napoli itu tiba pada 25 Mei dengan perjanjian selama dua tahun dan bakal mengambil peranan di kelab tersebut pada 1 Julai nanti.

Masalah dilaporkan dibangkitkan mengenai strategi perpindahan pemain kelab berpangkalan di Tuscany.

Perkara yang dibangkitkan adalah rundingan pemain tengah Porto, Sergio Oliveira dan pemain sayap Valencia, Goncalo Guedes, menurut laporan Sky Sport Italia dan La Gazzetta dello Sport.

Gattuso, bekas pemain tengah yang pernah memenangi Piala Dunia pada 2006 bersama Itali dan menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama AC Milan, mengambil alih tugas dari Giuseppe Iachini, yang meninggalkan Fiorentina sebanyak dua kali dalam tempoh enam bulan.

Iachini mula mengambil alih kelab musim lalu, dipecat dan digantikan oleh Cesare Prandelli pada Disember tetapi dipanggil semula apabila Prandelli berhenti pada Mac. Setelah memastikan kelab berjaya mengelak penyingkiran, Iachini membuat keputusan meletak jawatan.

Fiotentina menghabiskan kempen di kedudukan ke-13.

Gattuso, bekas pemain AC Milan dan Rangers berusia 43 tahun dan bekas jurulatih Milan, menggantikan Carlo Ancelotti di Napoli pada Disember 2019 dengan kelab dibelenggu masalah dalaman.

Gattuso memimpin Napoli menjulang trofi pertama sebagai jurulatih apabila mereka memenangi Piala Itali pada Jun lalu.

Namun, Napoli terlepas sasaran utama musim 2020/2021 untuk layak ke Liga Juara-Juara. – AFP

Gambar fail: Reaksi Gennaro Gattuso semasa menguruskan Napoli ketika bertemu AC Milan di San Siro Mac lalu. – AP