MILAN, 22 MEI – Fiorentina akan kembali ke bola sepak Eropah buat kali pertama dalam tempoh lima tahun selepas menewaskan Juventus 2-0 kelmarin untuk melayakkan diri ke Liga Persidangan musim hadapan.
Penyudah Alfred Duncan pada akhir babak pertama dan penalti lewat Nicolas Gonzalez memberikan pasukan Vincenzo Italiano kemenangan yang diperlukan mereka untuk menjamin menempah tempat di persaingan benua.
Fiorentina kini sudah memastikan tempat ketujuh dalam liga utama Itali, tiga mata di depan Atalanta yang tewas 1-0 di tempat sendiri kepada Empoli dan terlepas daripada menyertai Eropah buat kali pertama sejak Gian Piero Gasperini mengambil alih jawatan jurulatih pada 2016.
Giorgio Chiellini membuat penampilan terakhirnya dalam jersi Juve dalam perlawanan yang sengit antara seteru besar mereka dan beliau meninggalkan padang dengan kepala yang berdarah selepas pertembungan dengan penyerang Fiorentina, Krzysztof Piatek ketika menghasilkan penyudah dari Duncan.
Pemain berusia 37 tahun itu tidak kembali untuk bermain di separuh masa kedua dan sekaligus menamatkan karier Juvenya.
Dalam satu aksi yang lain, Lazio pula mengakhiri musim mereka di tempat kelima, satu mata dan satu tempat di atas pesaing tempatan Rom selepas seri 3-3 dengan Verona.
Mereka dan Roma sudah pun memastikan tempat mereka dalam Liga Europa. – AFP