Firefly turunkan sasaran penumpang

SUBANG JAYA, 20 Jan – Firefly Airlines mengurangkan sasaran jumlah penumpang bagi 2017 kepada 1.6 juta daripada 1.7 juta pada tahun lepas berikutan permintaan berkurangan dan peningkatan kos operasi setelah ringgit rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif Ignatius Ong berkata walaupun penurunan ringgit baik dari segi menarik penumpang luar negara ke Malaysia, ia juga perlu membolehkan warga Malaysia ke luar negara seperti ke Singapura, Indonesia dan Thailand.

“Pasaran perlu baik bagi kedua-duanya. Bukan murah bagi keluarga pergi bercuti ke negara jiran.

“Tambahan pula, kami mengalami peningkatan 30 peratus dalam keseluruhan kos yang mempengaruhi beberapa trasaksi kami dalam dolar Amerika,” katanya.

Ong berkata demikian kepada media selepas pelancaran FY e-dompet dengan kempen Firefly Airlines di sini hari ini.

Beliau berkata syarikat telah mengurangkan kapasiti sebanyak enam pesawat tahun lepas kepada 12 setelah faktor muatan hanya mencecah kira-kira 60 peratus.

“Apabila kami menyaksikan peningkatan permintaan sebanyak 70 hingga 75 peratus dalam faktor muatan, kami akan meletakkan satu atau dua lagi pesawat beroperasi,” katanya kepada pemberita.

Ong juga berharap nilai ringgit akan mengukuh ke paras mampan.

Sementara itu, mengenai FY e-dompet, kemudahan tanpa tunai yang membolehkan pengembara membeli tiket Firefly pada bila-bila masa, dengan cepat dan mudah. – Bernama