Firma China disaman oleh AS bukan syarikat diperakui

BEIJING, 22 JUN – Sebuah syarikat China yang disaman kerana menjual hampir setengah juta alat bantuan pernafasan N95 yang palsu dan substandard kepada para pembeli dari Amerika Syarikat (AS) pada April lalu adalah bukan syarikat pembuat penutup mulut dan hidung yang diperakui, kata pihak berkuasa China hari ini.

King Year Packaging and Printing yang berpangkalan di Guangdong tidak termasuk dalam senarai perusahaan yang diluluskan atau berdaftar bagi memenuhi standard luar negeri, kata Kementerian Perdagangan China kepada AFP.

Syarikat tersebut telah menghantar tiga kelompok penutup mulut dan hidung jenis N95 – yang diperlukan bagi melindungi kakitangan perubatan dan lainnya semasa pandemik koronavirus – kepada para pembeli AS, menurut aduan yang difailkan dalam mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York.

Firma berkenaan dipercayai telah memalsukan kira-kira 495,200 penutup mulut dan hidung yang dihantar itu memenuhi standard N95 dan mengatakan ia disahkan oleh Institut Kebangsaan AS bagi Pekerjaan Keselamatan dan Kesihatan.

Pengimport penutup mulut dan hidung itu membayar lebih AS$1 juta, kata pengadu.

“Menurut pemahaman awal kami, syarikat China yang terlibat dalam kes ini adalah pembekal penutup mulut dan hidung bukan perubatan dan tidak ada dalam senarai syarikat diperakui atau didaftar sebagai memenuhi standard asing,” menurut Kementerian Perdagangan.

Ia merujuk kepada senarai yang dikeluarkan oleh Dewan Perdagangan Import dan Export Produk Perubatan dan Kesihatan China.

Kementerian menambah yang China telah mengambil beberapa langkah berpatutan untuk memperkukuhkan lagi kawalan kualiti material pencegahan epidemik bagi barangan yang dieksport dan untuk mengawal pengeksportan.– AFP