BEIJING, 19 Sept – Syarikat Eropah terjejas daripada ‘keletihan janji’ disebabkan kegagalan China untuk menyusuli janji dalam membuka pasarannya, kata Dewan Perniagaan EU di China hari ini.
Dewan itu mengeluarkan satu laporan tahunan setebal 400 muka surat menyatakan sekatan peraturan yang terus menghalang pelaburan dalam ekonomi kedua terbesar dunia.
Perniagaan Eropah sedang “menderita daripada ‘keletihan janji’ terkumpul, setelah melihat beberapa siri jaminan dalam beberapa tahun ini yang tidak pernah menjadi kenyataan,” menurut kertas itu.
Dewan menggesa Parti Komunis supaya “mengganti kata-kata dengan tindakan konkrit dan memberikan kemudahan kepada pasarannya.”
Sekatan yang dikenakan ke atas pelaburan asing memaksa syarikat dari luar negara untuk bergabung dengan firma tempatan dan sering berkongsi teknologi penting – jika mereka tidak dilarang daripada memasuki pasaran tertentu, kata dewan.

Firma China tidak menghadapi sekatan sedemikian dalam pasaran EU, beritahu presiden Dewan Mats Harborn kepada wartawan sebelum pengeluaran laporan.
“Kami menggesa undang-undang pelaburan asing dimansuhkan,” kata beliau, berkata mereka menjadikan persekitaran pelaburan China terlalu kompleks, tidak dapat diramalkan dan kabur untuk menarik modal asing.
“Angka membuktikannya: pelaburan China di Eropah meningkat 77 peratus pada tahun lalu, sementara pelaburan EU di China merosot sebanyak satu perempat,” kata Harborn. Pelaburan EU merosot 23 peratus pada suku pertama 2017.
Satu tinjauan pada Mei yang disiarkan oleh Dewan menunjukkan 54 peratus daripada syarikat EU yang beroperasi di China rasa mereka dilayan lebih teruk daripada rakan tempatan mereka. – AFP