Firma hartanah China Evergrande dibebani hutang

SHENZEN, 14 SEPT – Puluhan pelabur mengadakan protes di luar ibu pejabat firma gergasi hartanah China, Evergrande, selepas diketahui ia menghadapi krisis kewangan serius.

Syarikat yang diselubungi hutang itu mengesahkan berada dalam ‘tekanan luar biasa’ dan mungkin tidak mampu melunaskan pembayaran kepada pelabur.

Kedudukan syarikat itu menimbulkan kebimbangan di seluruh sektor hartanah China, yang merangkumi satu perempat daripada ekonomi kedua terbesar di dunia, sekali gus memberikan tekanan kepada pihak bank dan pelabur.

Pemaju Hong Kong yang disenaraikan dalam bursa itu kini berdepan liabiliti berjumlah lebih AS$300 bilion, ekoran pinjaman pembiayaan.

Sekitar 60 hingga 70 orang berkumpul di luar ibu pejabat Evergrande di Shenzhen, menuntut jawapan daripada syarikat itu.

Evergrande diturunkan penarafan oleh dua agensi kredit minggu lalu dengan sahamnya menjunam di bawah harga penyenaraian di bursa pada 2009, dengan spekulasi serta tajuk berita utama yang memberi kesan buruk di media sosial China.

Kelmarin, syarikat itu menegaskan bahawa mereka akan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menyebabkannya jatuh muflis.

Namun, hari ini pihaknya mengeluarkan kenyataan lain kepada bursa saham Hong Kong, bahawa mereka sudah mengupah penasihat kewangan itu mencari ‘semua penyelesaian secepat mungkin’ untuk mengatasi isu aliran tunai. – AFP

Ibu pejabat Evergrande kelihatan di Shenzhen, tenggara China kelmarin ketika syarikat hartanah China berkata ia sedang berdepan ‘kesukaran besar’ namun menafikan ia bakal jatuh muflis. – AFP