Firma Jepun cipta fabrik penghapus bakteria

TOKYO, 5 JUN – Idea yang mengejutkan, fabrik yang da-pat menghasilkan sejumlah kecil tenaga elektrik yang digerakkan oleh pergerakan, membolehkan pakaian anda menghapuskan mikrob dan bakteria ketika anda menjalani hari anda.

Dua firma Jepun mengatakan bahawa itulah yang dapat dilakukan oleh produk baharu mereka, dan menyatakan ia sangat berguna dari membendung bau badan hingga menawarkan bahan yang sesuai untuk alat pelindung seperti topeng muka.

Fabrik yang diusahakan bersama oleh syarikat elektronik Murata Manufacturing and Teijin Frontier, dipanggil PIECLEX, menghasilkan tenaga dari bahan itu sendiri, termasuk ketika dipakai oleh seseorang yang bergerak.

Voltan rendah tidak cukup kuat untuk dirasakan oleh pemakainya, tetapi ia secara efektif menghentikan bakteria dan virus daripada membiak di dalam fabrik, kata syarikat itu.

“Ia dijamin sangat berkesan pada kadar 99.9 peratus untuk menghapus bakteria dan virus yang kami uji, berusaha untuk mengekang percambahan atau mematikannya,” kata seorang jurucakap Murata kepada AFP hari ini. Firma itu mengatakan bahawa fabrik tersebut turut dihasilkan dalam produk seperti pakaian sukan, barang kebersihan termasuk lampin dan topeng, dan untuk digunakan dalam penapis dalam produk industri. Mereka kini berharap dapat menguji apakah fabrik itu dapat menghadapi musuh yang sangat kuat iaitu koronavirus. – AFP

Gambar fail pada 31 Mei menunjukkan dua wanita dengan menggunakan penutup mulut dan hidung melintasi sebuah farmasi di Tokyo, Jepun. Firma Jepun mengatakan mereka telah mencipta fabrik yang secara efektif dapat menghapuskan bakteria dan virus daripada membiak. – AFP